Kota Kinabalu: Sabah Electricity telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM5.2 juta bagi inisiatif pembangunan komuniti sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan tumpuan kepada sektor pendidikan, kebajikan serta perlindungan alam sekitar.
“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat akan diteruskan sepanjang tahun ini, selaras dengan komitmen berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah,” kata Ketua Pegawai Komunikasi Korporat Sabah Electricity, Lisa Wan pada majlis makan tengah hari media bersama ahli Persatuan Wartawan Sabah dan Persatuan Wartawan Kota Kinabalu di sini, Selasa.
Lisa berkata 2026 bakal menyaksikan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi yang kritikal kepada pembangunan tenaga di Sabah, yang disifatkannya sebagai pencapaian penting dalam perjalanan syarikat ke arah pertumbuhan mampan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas liputan yang adil dan bertanggungjawab terhadap operasi Sabah Electricity, khususnya ketika berlakunya gangguan bekalan elektrik dan situasi kecemasan lain.
“Laporan berita yang tepat dan seimbang amat penting bagi memastikan orang ramai menerima maklumat yang betul serta memahami situasi sebenar yang berlaku,” katanya.
Beliau menegaskan peranan media adalah sangat signifikan dalam membantu menjelaskan isu, usaha penambahbaikan serta hala tuju yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Sabah Electricity, terutama ketika syarikat berdepan pelbagai cabaran operasi dan jangkaan tinggi daripada orang awam.
Sehubungan itu, Sabah Electricity, katanya, akan terus memperkukuh hubungan strategik dengan pihak media bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat Sabah adalah tepat, telus dan seimbang.
Sebagai sebuah syarikat utiliti yang berkhidmat untuk rakyat Sabah, Lisa berkata Sabah Electricity amat menghargai kerjasama, sokongan serta maklum balas yang diberikan oleh rakan media dalam membantu syarikat melaksanakan mandat perkhidmatannya kepada negeri.
Sementara itu, seramai 10 wartawan turut menerima bantuan daripada Sabah Electricity sebagai sebahagian daripada program sokongan komuniti syarikat berkenaan.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarang Utusan Borneo, Datuk Lichong Angkui; Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu, Jimmy Goh; serta Naib Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Ricardo Unto.