KINABATANGAN: Seramai 196 anggota polis akan menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan mengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, hari ini.
Proses pengundian akan berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan yang membabitkan satu saluran.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca baik di sebelah pagi dan petang pada hari pengundian.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah berkata persiapan bagi proses pengundian awal berjalan lancar.
Katanya, persiapan mula dilaksanakan pada 8 pagi Isnin di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, yang menjadi satu-satunya pusat pengundian awal, membabitkan 14 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Persiapan untuk undi awal esok yang melibatkan 196 anggota polis serta pasangan setakat ini berjalan lancar, dan kita sasarkan 100 peratus jumlah itu akan keluar mengundi,” katanya kepada Bernama, Isnin.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar, yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu menyaksikan pertembungan antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian.