PUTATAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata varieti durian premium masih laris dengan permintaan kukuh bagi buah Gred A yang terus dieksport ke negara jiran manakala Gred B dan C dibekalkan ke pasaran tempatan.
Beliau berkata keadaan cuaca yang kurang baik sepanjang 2025 menjejaskan kualiti buah sekali gus menyebabkan pengeluaran durian Gred B dan C meningkat dan membawa kepada lambakan di pasaran.
Advertisement

“Namun begitu harga durian di Sabah kekal relatif stabil dengan Gred B dan C dijual sekitar RM35 sekilogram (kg) manakala durian Gred A masih memperoleh kira-kira RM50 sekilogram pada harga ladang.
“Bagi varieti import harga masih baik selagi kualitinya premium. Gred A dieksport manakala Gred B dan C dijual di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program pengagihan durian anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan di mana hampir sembilan tan durian diagihkan secara percuma kepada orang ramai dan ratusan penduduk hadir.
Jamawi turut memaklumkan durian kampung mengalami lambakan ketara dengan harga menjunam serendah RM2 sebiji atau RM2 sekilogram di beberapa kawasan.
Beliau berkata pemimpin tempatan dan pertubuhan peladang membantu dengan membeli durian secara pukal dan mengagihkanya kepada orang ramai melalui program komuniti.
“Inisiatif ini membantu petani menjual hasil walaupun harga tidak menentu dan bagi komuniti luar bandar ia menyediakan sedikit pendapatan,” katanya.
Tambah beliau kementerianya menggalakkan durian kampung dinaik taraf kepada varieti premium melalui program cantuman semula, disokong latihan serta pakej pertanian.
“Kita ada program di bawah Kebun Dapur yang melatih petani menukar pokok lama kepada pokok pengeluar varieti premium.
“Daripada menghasilkan durian kampung pokok itu boleh ditransformasikan kepada varieti premium,” ujarnya.
Baru-baru ini Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sarawak di Merapok merampas 1.1 tan durian dari Sabah yang dipercayai berpunca daripada lambakan.
Jamawi berkata kejadian itu berkaitan penguatkuasaan biosekuriti oleh negeri dan negara jiran. Menurutnya Sarawak dan Brunei telah memperketat kawalan biosekuriti khususnya apabila melibatkan jumlah besar hasil pertanian.
“Apabila kita mengeksport secara sah terdapat proses ketat untuk memastikan buah-buahan dan sayur-sayuran selamat dimakan.
“Walaupun dari Sabah ke Sarawak laluan melalui negara jiran memerlukan pematuhan prosedur biosekuriti bagi mengelakan penularan perosak dan penyakit tanaman,” tegasnya.
Jamawi berkata kementerianya telah melawat 16 daripada 25 kawasan Parlimen di Sabah bagi mempromosikan program Kebun Dapur bertujuan mengubah persepsi bahawa sektor pertanian, penternakan dan perikanan adalah industri “senja” yang didominasi golongan berusia.
Beliau berkata program mentor turut diperkenalkan untuk belia berumur 40 tahun ke bawah bagi menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor berkenaan.
Terdahulu beliau melawat projek pertanian bandar di Kepayan dan berkata perbincangan sedang dijalankan untuk memperluaskan inisiatif serupa di Putatan khususnya bagi penduduk apartmen dan kondominium yang tidak mempunyai akses tanah.
“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan untuk mengenal pasti lot kecil tanah terbiar supaya komuniti bandar juga boleh terlibat,” katanya.
Tambah beliau kebun komuniti boleh dibahagikan kepada lot kecil dan dijadikan pertandingan mesra bagi menggalakkan penyertaan sebagai aktiviti hujung minggu penduduk bandar.
Di Putatan katanya kementerian akan bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP/MAPI) dan pertubuhan peladang tempatan untuk mengenal pasti tanah belum dibangunkan bagi projek seumpama itu. Di bawah program tersebut peserta akan menerima bahan tanaman seperti anak benih sayur-sayuran dan cili selain latihan teknologi asas pertanian dan kaedah penanaman skala kecil.
Jamawi turut memaklumkan bantuan kepada petani dan penternak yang terjejas akibat banjir baru-baru ini sedang dinilai dengan langkah sokongan akan diselaraskan melalui agensi berkaitan di bawah kementeriannya.