Kota Kinabalu: Seorang pemandu lori berusia 34 tahun didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menghina mencabul kehormatan seorang wanita baru-baru ini.
Tertuduh Masree Poleman mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus terhadap pertuduhan yang dibacakan pada Khamis.
Advertisement

Masree didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang wanita berusia 38 tahun dengan menyentuh telinga mangsa serta memegang pinggangnya menggunakan tangan kiri pada jam 7.15 pagi, 3 Januari lalu di sebuah tempat letak kereta di hadapan Servay Likas Hypermall.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan Masree diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Dalam permohonan mengurangkan jumlah jaminan peguam Lawrence Lim yang mewakili tertuduh memaklumkan bahawa Masree perlu menjaga bapanya.
Dalam prosiding sama seorang mekanik berusia 44 tahun dipenjara selama 10 minggu dan didenda RM1,000 atau empat minggu penjara jika gagal membayar denda kerana menyebabkan kecederaan terhadap teman wanitanya.
Tertuduh Othman Ruzman mengaku bersalah memukul wanita tersebut pada jam 10 malam, 31 Disember 2025 di sebuah unit di Beverly Hills Fasa 2, Bundusan, Penampang.
Dalam rayuan mitigasi Othman yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa dia mempunyai enam orang anak untuk ditanggung dan kes itu merupakan kesalahan pertamanya.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberi pengajaran memandangkan kesalahan tersebut adalah serius.
Mahkamah diberitahu bahawa Othman bertindak mencederakan mangsa akibat marah selepas mengesyaki wanita itu berlaku curang terhadapnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.