KINABATANGAN: Menjadikan Bukit Garam sebagai pusat pelancongan merupakan antara agenda penting yang bakal dilaksanakan sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya kecil Kinabatangan dan Lamag.
Calon BN untuk Lamag, Mohd Ismail Ayob berkata Bukit Garam perlu dijadikan sebagai satu destinasi pelancongan bukan hanya sekadar tempat perhentian untuk pengunjung yang dalam perjalanan ke destinasi lain seperti ke Tanjung Bulat dan Lokan.
Katanya, usaha diperlukan untuk akan menggalakkan lebih ramai penggiat inap desa di Bukit Garam serta mewujudkan pusat kebudayaan bagi menarik pelancong untuk datang bermalam.
“Bukit Garam mempunyai potensi besar apabila mengambil kira keunikan budaya, makanan, pakaian dan tradisi masyarakat setempat yang bernilai tinggi untuk dijadikan tarikan pelancong,” katanya.
Mohd Ismail berkata inisiatif terbabit juga boleh memacu ekonomi setempat dengan menggalakkan lebih banyak kedai dan restoran diwujudkan di kawasa berkenaan.
Beliau ditemui media ketika merasmikan program pengurusan jenazah di Madrasah Kampung Muhibbah pada Rabu.
Katanya, sekiranya diberikan mandat, beliau merancang untuk membekalkan set jenazah di semua surau di kawasan terbabit bagi meringankan beban keluarga, khususnya yang kurang bermampuan.