LAHAD DATU: Polis menahan lima penunggang motosikal dan menyita 10 buah motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa kawasan panas di sini, Sabtu malam.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata sebanyak 32 saman dikeluarkan.
Operasi itu disertai oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, dengan kerjasama Cawangan Khas, Bahagian Siasatan Jenayah serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.
Sebanyak 46 individu dan 35 motosikal diperiksa di Bandar Sri Perdana, pusat Bandar Fajar serta Jalan Lahad Datu–Sandakan dan Jalan Lahad Datu–Tawau.
“Susulan operasi itu, lima penunggang motosikal ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan menunggang tanpa lesen.
“Sebanyak 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 10 motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dzulbaharin berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Polis menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam aktiviti yang boleh membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Polis tidak akan berkompromi terhadap samseng jalanan kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan pengguna jalan raya lain dan operasi akan dipergiatkan bagi membendung aktiviti seumpama itu.