Kota Kinabalu: Seorang penolong jurutera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Khamis atas dua pertuduhan memperoleh rasuah berjumlah kira-kira RM200,000 daripada sebuah syarikat milik sepupunya.
Tertuduh Aldey Kangit, 44, yang bertugas di Pejabat Daerah Kecil Kiulu tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus.
Bagi pertuduhan pertama Aldey didakwa menyalahgunakan kedudukanya untuk menerima rasuah berjumlah RM75,998.10 melalui sebuah syarikat pembinaan milik sepupunya.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 22 Ogos 2023 di Pejabat Daerah Kecil Kiulu.
Mengikut pertuduhan kedua Aldey didakwa memperoleh satu lagi rasuah berjumlah RM142,490.50 dengan menggunakan kedudukanya pada 13 September 2023 di lokasi yang sama.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan 23 Februari depan untuk pengurusan kes pra-bicara dan membenarkan Aldey diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM10,000 serta dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sekali setiap dua bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Baharom mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman hadir bagi pihak peguam Luke Ressa Balang yang mewakili tertuduh.