LAHAD DATU: Mahkamah Sesyen pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang lelaki kerana merogol anak saudara perempuannya.
Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu kepada lelaki berkenaan selepas dia didapati bersalah merogol anak saudaranya yang ketika itu berusia 15 tahun pada Disember 2020 di rumahnya di Kunak.
Advertisement

Dia disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 10 kali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes mangsa berada di bawah jagaan tertuduh berikutan kesukaran yang dihadapi oleh ibu bapanya.
Sebelum kejadian mangsa sedang tidur di dalam biliknya sebelum tertuduh menarik mangsa ke bilik tidurnya dan merogol mangsa.
Semasa kejadian isteri tertuduh bermalam di rumah ibu bapanya manakala anak-anak tertuduh tidak menyedari kejadian tersebut. Selepas kejadian tertuduh memohon maaf kepada mangsa dan meminta mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa, khususnya ahli keluarga.
Seramai lapan saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Gani Zelika dan Peguam Mohd Ridwan Usman.
Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan ditetapkan sebanyak RM15,000 berserta seorang penjamin tempatan.