PEMAJU sebuah hartanah komersial yang sedang dibangunkan di persimpangan Jalan Tuaran dan Jalan Teluk Likas diminta memberi perhatian serius terhadap kesejahteraan dua batang pokok ujan-ujan (rain tree) di kawasan berkenaan.
Jurucakap Jabatan Landskap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata syarikat terbabit kini sedang melaksanakan kerja-kerja pelebaran di satu bahagian Jalan Teluk Likas iaitu lokasi kedua-dua pokok tersebut tumbuh.
“Kami telah meminta pihak pengurusan pemaju supaya lebih proaktif dalam usaha melindungi pokok-pokok ini daripada kesan kerja pembesaran jalan.
“Zon perlindungan perlu diwujudkan di sekeliling setiap pokok bagi memastikan tiada bahagian strukturnya rosak akibat kerja pembinaan,” katanya.

Menurutnya DBKK akan memantau aktiviti yang dijalankan di Jalan Teluk Likas bagi memastikan pemaju mematuhi arahan tersebut dan sepucuk surat rasmi berhubung perkara itu telah dihantar kepada syarikat berkenaan.
Tindakan ini diambil susulan kebimbangan seorang pembayar cukai di Likas yang mendakwa salah satu pokok ujan-ujan berkenaan mungkin ditebang selepas mendapati tanda ‘X’ dicat pada bahagian batangnya.
Beberapa pokok lain di kedua-dua belah jalan turut didapati mempunyai tanda yang sama. Aduan tersebut kemudian dikemukakan kepada DBKK.
Jurucakap itu berkata pemeriksaan di Jalan Teluk Likas telah dilakukan pada hari yang sama DBKK dihubungi. Kakitangan Jabatan Landskap turut bertemu dengan seorang kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja jalan raya tersebut.
“Kontraktor dimaklumkan mengenai dua batang pokok ujan-ujan yang berada di laluan projek berkenaan termasuk pokok yang menimbulkan kebimbangan pengadu.
“Kontraktor berkenaan memberi jaminan bahawa pokok-pokok itu akan dipelihara dan tidak akan ditebang,” ujarnya.
Tambah beliau kakitangan DBKK turut memberi panduan kepada kontraktor mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi melindungi kesejahteraan kedua-dua pokok tersebut.
Seorang lagi kakitangan Jabatan Landskap kembali ke lokasi sehari kemudian untuk memasang pita keselamatan di sekeliling batang pokok yang terlibat.
Menurutnya kedua-dua pokok ujan-ujan yang terletak berhampiran Spinnaker Suites itu dianggarkan berusia lebih 50 tahun dan telah dikategorikan sebagai “pokok warisan” oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan hampir dua dekad lalu.
“Status ini diberikan oleh Arboris Bertauliah ISA sejak tahun 2009 sebagai sebahagian daripada Projek Pemuliharaan Pokok Matang Bernilai Warisan yang ditaja oleh Jabatan Landskap Negara (JLN),” katanya.
DBKK sebelum ini telah memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang mencederakan atau merosakkan pokok warisan di sekitar ibu negeri boleh dikenakan tuntutan pampasan berdasarkan nilai ekonomi pokok berkenaan. Nilai kewangan setiap pokok warisan ditentukan oleh arboris JLN dan akan dijadikan asas tuntutan ganti rugi.

Menurut jurucakap DBKK pihaknya mematuhi garis panduan kementerian dalam menentukan pokok yang layak diberi status warisan iaitu lazimnya berusia lebih 30 tahun dengan lilitan batang melebihi 18 sentimeter sama ada spesies tempatan atau eksotik serta mempunyai nilai sejarah atau ekonomi.
“Usaha pemeliharaan pokok warisan dijalankan setiap enam bulan termasuk pemeriksaan oleh arboris terhadap tahap kesihatan dan sebarang kerosakan,” katanya.
Bagaimanapun jurucakap itu menjelaskan bahawa walaupun kedua-dua pokok ujan-ujan tersebut merupakan aset DBKK, jajaran Jalan Teluk Likas tidak diselenggara oleh pihak berkuasa tempatan itu.
“Semakan rekod kami mendapati Jalan Teluk Likas tidak tersenarai dalam daftar jalan DBKK,” tambahnya.
Sementara itu semakan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati jalan berkenaan berada di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.
Jurucakap JKR berkata jalan itu telah diserahkan kepada pemaju sepanjang tempoh kerja pembesaran dijalankan.
“Kerja pembesaran ini adalah sebahagian daripada pelan pembangunan (DP) yang dikemukakan oleh syarikat dan telah kami luluskan.
“DP itu juga merangkumi kerja naik taraf jambatan jejantas di Jalan Tuaran berhampiran tapak pembangunan komersial tersebut,” ujarnya.