RANAU: Sebuah lori seberat 10 tan terjunam ke dalam sungai selepas sebuah jambatan lama roboh dekat sini, petang Selasa.
Kejadian berlaku di Kampung Kawiyan, kira-kira dua jam perjalanan dari Pekan Ranau. Pemandu lori dan kelindannya dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.
Bagaimanapun, tindakan pemandu yang menggunakan jambatan separa kayu dan besi itu menerima kritikan dalam kalangan pengguna media sosial.
Jambatan berkenaan dibina untuk kegunaan penduduk kampung bagi urusan harian, namun kini tidak dapat digunakan susulan kejadian itu sekali gus menyebabkan perhubungan terputus.
Difahamkan, jambatan terbabit hanya dikhaskan untuk kenderaan ringan dan kecil, manakala kenderaan yang membawa muatan berat sepatutnya tidak menggunakannya.
Setakat ini, pihak berkuasa berkaitan serta pasukan penyelamat belum dihubungi untuk mengambil tindakan atau memberikan maklum balas berhubung kejadian berkenaan.