PUTATAN: Enam rumah musnah dalam kebakaran awal pagi di Kampung Ketiau di sini, pada Selasa.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 5.48 pagi dan jentera bomba tiba di lokasi dalam tempoh empat minit. Kawasan terjejas terletak kira-kira tiga kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Putatan.
Komander operasi, PBK I Linda Eslao Wagis, berkata kebakaran itu membabitkan enam rumah daripada struktur tidak kekal dan separa kekal, yang semuanya musnah.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.24 pagi dan operasi pemadaman diteruskan sehingga jam 10.59 pagi bagi memastikan kawasan benar-benar selamat,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan tiga aliran hos sepanjang 300 kaki dengan enam pancutan, dengan sumber air dari jentera bomba, lori tangki air serta sumber air terbuka iaitu sungai.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Beliau berkata, pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak dengan menyelamatkan tujuh rumah berhampiran serta sebuah kereta Proton Saga.
Seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu terlibat dalam operasi itu, dengan sokongan beberapa agensi lain termasuk Sabah Electricity, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Pejabat Daerah Putatan.