MEMBAKUT: Beberapa kampung di daerah ini masih dilanda banjir susulan limpahan sungai termasuk Kg Brunei, Kg Tengah, Kg Skim dan Kg Laut.
Ketua Polis Daerah Superintenden Wong Leong Meng berkata setakat ini tiada penduduk dipindahkan kerana keadaan masih terkawal.
Menurutnya, akses ke Kg Tengah hanya boleh dilalui oleh kenderaan besar dan berketinggian tinggi.
“Laluan alternatif ke pekan Membakut adalah melalui Jalan Bandau-Pamparingan namun aliran trafik masih terkawal,” katanya.
Wong menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan tidak membenarkan kanak-kanak bermain di kawasan terjejas banjir, sambil memberi amaran bahawa Sungai Kampung Brunei berbahaya dan risiko kehadiran buaya.
“Keadaan ini amat berbahaya sekiranya reptilia itu memasuki kawasan penempatan dan mengancam keselamatan awam,” katanya.
Menurut Wong, Beaufort kini merupakan satu-satunya daerah yang melaksanakan pemindahan banjir, melibatkan penduduk dari Kg Suasa dan Kg Bangkalalak, membabitkan 118 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan 328 ahli keluarga.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ishak Jabas berkata paras banjir di sekitar pekan surut kepada 9.15 meter namun terus meningkat di kawasan hulu termasuk Kg Suasa dan Kg Bangkalalak.
“Kami masih menjalankan operasi pemindahan di Kampung Kangsa dengan memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Selagon,” katanya.
Dalam satu operasi, dua isi rumah melibatkan sembilan mangsa yang terperangkap di kediaman mereka akibat banjir di Kg Kangsa berjaya dipindahkan dengan selamat menggunakan jentera bomba.
Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Selagon. Operasi ditamatkan selepas tiada lagi mangsa dikenal pasti, namun pemantauan berterusan masih dijalankan.
Ishak berkata setakat ini seramai 118 isi rumah melibatkan 328 individu telah dipindahkan, terdiri daripada 58 lelaki dewasa, 106 wanita dewasa, 84 kanak-kanak lelaki dan 70 kanak-kanak perempuan, lima bayi lelaki dan lima bayi perempuan, lima warga emas lelaki dan 23 warga emas wanita, serta 14 orang kurang upaya (OKU).
Di Sipitang, satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di sepanjang Lebuhraya Sipitang-Tenom berhampiran Kampung Marau Damai susulan hujan lebat pada jam 6.57 petang, Jumaat.
“Pengguna jalan dinasihatkan supaya berhati-hati, terutama ketika menggunakan laluan tersebut pada waktu malam,” katanya.
Sementara itu di MANGGATAL, seramai 18 penduduk dari Kampung Rampayan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara susulan kejadian banjir di kawasan itu pada malam Sabtu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.15 malam Sabtu sebelum menggerakkan anggota dari tiga balai ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.
Operasi pemindahan mangsa dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan semua mangsa dipindahkan dengan selamat.
Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada lima keluarga melibatkan seorang lelaki, 11 wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas (sembilan anggota) terlibat dalam operasi itu, dengan sokongan tambahan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu (dua anggota) dan Penampang (dua anggota).
Anggota bomba tiba di lokasi pada jam 8.23 malam dan operasi pemindahan berakhir pada jam 12.05 tengah malam.