LAHAD DATU: Seramai 81 individu diperiksa dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lahad Datu pada Khamis.
Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan di tiga premis perniagaan dan berlangsung selama enam jam.
Operasi terbabit disertai lima pegawai daripada Unit Penguatkuasaan Pejabat Imigresen Lahad Datu.
Sepanjang operasi seramai 81 individu diperiksa yang terdiri daripada 53 warga tempatan, 21 warga Filipina, tiga warga Indonesia dan empat warga China.
“Semua warga asing yang diperiksa didapati memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tidak melakukan sebarang pelanggaran undang-undang imigresen,” menurut jabatan itu.
Dalam pada itu JIM menasihatkan majikan serta pengurus premis supaya sentiasa mematuhi undang-undang imigresen.
JIM turut menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan selain membanteras penggajian warga asing secara tidak sah.