Thu, 26 Mar 2026
Headlines:
Ahli politik cabul remaja dipenjara 8 bulan, denda
Published on: Saturday, December 20, 2025
Published on: Sat, Dec 20, 2025
By: Cynthia D Baga
Text Size:
Text:
Ahli politik cabul remaja dipenjara 8 bulan, denda
Phillip didapati bersalah melakukan perbuatan itu terhadap remaja perempuan berusia 18 tahun itu pada jam 11 malam, 17 April 2021 di ruang tamu Jesselton Capsule Inn di Asia City.
Kota Kinabalu: Seorang ahli politik berusia 55 tahun yang digantung daripada jawatannya sebagai Penyelaras Parlimen Putatan Parti Solidariti Tanah Airku (Star), dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda, kerana mencabul seorang remaja empat tahun lalu.

Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Phillip Among selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Phillip pada Jumaat.

Advertisement
Phillip didapati bersalah melakukan perbuatan itu terhadap remaja perempuan berusia 18 tahun itu pada jam 11 malam, 17 April 2021 di ruang tamu Jesselton Capsule Inn di Asia City.

Dia disabitkan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua hukuman itu jika sabit kesalahan.

SPONSORED CONTENT
Kota Kinabalu: KOTA KINABALU: Fiesta Mega Raya (FMR) 2026 is set to be the largest and most prestigious Hari Raya celebration in Sabah, taking place from March 7 to 18, at the Sabah International Convention Centre (SICC), here.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Phillip untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Sementara menunggu rayuan, mahkamah meningkatkan jaminan Phillip dengan tambahan RM5,000 dan mengekalkan syarat tambahan seperti pasportnya disimpan oleh mahkamah serta perlu melapor diri di balai polis terdekat.

Advertisement
Mahkamah memerintahkan denda dan jaminan tambahan itu dibayar selewat-lewatnya pada Jumaat.

Seramai 10 saksi dipanggil memberi keterangan di peringkat pendakwaan manakala hanya seorang saksi pembelaan dipanggil.

Advertisement
Semasa menjatuhkan hukuman itu, mahkamah berkata selepas banyak sesi pemeriksaan balas, keterangan mangsa kekal kukuh dengan dakwaannya.

“Walaupun terdapat beberapa percanggahan, ia tidak menjejaskan fakta bahawa mangsa dicabul,” katanya sambil menambah ia hanya percanggahan kecil dan tidak menjejaskan kes pendakwaan.

Sementara itu, peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah yang mewakili Phillip memohon agar tiada hukuman penjara dikenakan atas alasan anak guamnya adalah pesalah kali pertama dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Fikry memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya mengalami masalah kesihatan serius dan berterusan termasuk hipertensi dan kesan daripada strok yang pernah dialaminya.

Beliau berkata Phillip sangat bergantung kepada ubat-ubatan berkala dan pemantauan perubatan dan hukuman penjara boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraannya.

Fikry memberitahu mahkamah bahawa kesalahan itu berlaku di luar watak anak guamnya dan tidak menggambarkan sebarang corak tingkah laku jenayah, oleh itu Phillip tidak wajar dikenakan hukuman penjara.

Beliau turut memaklumkan Phillip mempunyai empat anak yang masih bergantung kepadanya dari segi penjagaan, bimbingan dan sokongan kewangan.

Menurut Fikry, Phillip aktif dalam pelbagai inisiatif kebajikan, terutamanya membantu pesakit talasemia dan sentiasa terlibat dalam kerja kebajikan masyarakat di kampung dengan memberi bantuan kepada penduduk kurang berkemampuan.

Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khar yang menggantikan DPP Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon mahkamah mengenakan hukuman pencegahan kerana walaupun mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal, namun trauma psikologi yang dialami adalah teruk.

Arfa berhujah bahawa mangsa jelas dalam keadaan tertekan dan ini menunjukkan kesan emosi jangka panjang.

“Jenayah seksual dalam masyarakat kita sudah pun membawa stigma dan ketakutan terhadap mangsa. Namun mangsa muda ini menunjukkan keberanian yang besar untuk tampil bersuara. Keberanian ini harus diiktiraf sebagai sebahagian daripada trauma yang dialaminya,” katanya.

“Selain itu tertuduh juga tidak menunjukkan rasa kesal. Dia menafikan semua perbuatan, memberi penjelasan yang tidak munasabah dan cuba menjatuhkan kredibiliti mangsa,” tambah Arfa.

Arfa berkata pihak pendakwaan memohon hukuman penjara tiga tahun dan denda kerana hukuman itu mencerminkan beratnya kesalahan, keadilan undang-undang kepada mangsa serta memberi amaran bahawa penyalahgunaan kuasa dalam jenayah seksual tidak akan diterima.

Menurut rekod, Phillip juga sedang menunggu keputusan bagi empat pertuduhan mencabul seorang peserta Unduk Ngadau 2021.

Tarikh keputusan bagi kes-kes terbabit ditetapkan pada 5 Jan 2026.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Phillip dituduh mencabul peserta Unduk Ngadau itu pada 19 Mei 2021 masing-masing pada jam 2 petang, 3.30 petang, 9.45 malam dan 10 malam.

Semua kejadian didakwa berlaku di tangga bersebelahan Ever Best Photo di Asia City, di Studio Darvel Bay Borneo Holidays Sdn Bhd di Asia City, dalam sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan dari lokasi makan malam menuju ke pejabat lama di bandaraya dan di sebuah pejabat di Metro Town, di sini.

Phillip ketika itu merupakan ketua teknikal bagi pertandingan Unduk Ngadau 2021.

Bagi kes ini, lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan telah memberi keterangan semasa perbicaraan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here