RANAU: Tindakan pantas anggota Bomba dan Penyelamat Ranau berjaya menghalang api daripada merebak ke rumah-rumah lain pada pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Rantey Fred berkata kejadian berlaku di Lorong 2, Kg Muhibbah, di sini, jam 10.30 pagi.
“Kami menerima panggilan kecemasan melalui talian balai daripada orang awam mengenai kejadian dan menghantar enam anggota bomba diketuai Komander Operasi Wasli Saupin ke lokasi.
“Apabila tib di lokasi yang terletak satu kilometer dari Balai Bomba Ranau, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berukuran 30x40 kaki persegi sebanyak 85 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan hos sepanjang 200 kaki, dua pancutan air dengan sumber air diambil daripada tangki jentera FRT. Turut serta dalam operasi ialah lima anggota PDRM dan lima anggota APM,” katanya.
Menurut Rantey, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Beliau menambah pemeriksaan turut dilaksanakan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.19 tengah hari.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap insiden kebakaran terutama pada musim kering dan berangin.
“Kebakaran di kawasan terbuka boleh menjadi tidak terkawal dan membawa bencana dengan risiko kehilangan aset berharga, rumah malah nyawa.
“Jika terdapat pembakaran terbuka yang tidak dapat dielakkan, ia perlu dipantau dan dikawal bagi mengelakkan api merebak ke kawasan berdekatan,” katanya.