Kota Kinabalu: Lima remaja yang sedang dibicarakan atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir bersama seorang saksi telah membuat laporan polis yang dipercayai berkaitan dakwaan gangguan saksi dalam kes berkenaan.
Peguam Azhier Farhan Arisin bersama pasukanya yang mewakili empat daripada tertuduh serta peguam Datuk Ram Singh dan pasukanya yang mewakili seorang lagi tertuduh memaklumkan perkara itu kepada media dalam satu sidang media pada Khamis.
Dalam sidang media tersebut mereka mengesahkan sebanyak lima laporan polis telah dibuat oleh ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang dituduh berhubung dakwaan gangguan saksi oleh pasukan pendakwaan.
Azhier dan Ram turut memaklumkan bahawa saksi dalam perbicaraan yang sedang berlangsung juga telah membuat laporan polis berhubung perkara sama pada hari yang sama dengan ditemani oleh ibunya.
Menurut kedua-dua peguam anak guam mereka bersama pelajar terbabit telah membuat laporan polis secara berasingan pada Rabu di Balai Polis Karamunsing.
Menurut pasukan peguam berkenaan laporan-laporan itu dibuat susulan tindakan yang didakwa diambil oleh pasukan pendakwaan sepanjang prosiding perbicaraan yang sedang berlangsung.
Mereka berkata tindakan tersebut dipercayai bersifat prejudis dan boleh menjejaskan keadilan kes berkenaan.
Bagaimanapun mereka enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut memandangkan perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak tertakluk kepada perintah larangan (gag order) yang dikenakan oleh mahkamah.
Ram berkata perbicaraan akan disambung semula pada 19 Januari tahun hadapan dan arahan lanjut akan diberikan oleh mahkamah.
“Laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa anak guam kami berhubung perkembangan dalam kes ini telah direkodkan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Sementara itu peguam Joan Goh yang bersama Ram mewakili tertuduh kanak-kanak pertama berkata mereka juga telah menerima prosiding menghina mahkamah terhadap pihak-pihak berkaitan dan akan meneruskan perkara tersebut dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan sama Azhier berkata anak guamnya menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan bahawa seorang saksi telah diganggu oleh pihak pendakwaan seperti yang dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat oleh ibu kepada saksi tersebut.
“Pihak polis telah menghubungi kami untuk merakam kenyataan daripada pengadu. Dalam laporan polisnya ibu saksi mendakwa saksi berkenaan dipaksa mengubah kenyataanya di Mahkamah Kanak-Kanak dan juga dipaksa untuk tidak bercakap benar.
“Saya tidak akan mengulas lanjut mengenai prosiding kes ini namun ingin menegaskan bahawa anak guam kami akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan berhubung dakwaan gangguan saksi ini,” katanya.
Azhier turut memaklumkan bahawa anak guamnya akan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung hak mereka untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, yang didakwa telah dicabuli oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Kanak-Kanak.
Lima remaja berkenaan didakwa menggunakan kata-kata menghina yang didengar dan menyebabkan Zara berasa terganggu.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 10 malam hingga 11 malam pada 15 Julai lalu.