RANAU: Sebuah bekas surau musnah dalam kejadian kebakaran pada Rabu petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Rantey Fred berkata kejadian berlaku di Kg Minihas Lohan di sini kira-kira jam 10 pagi.
“Kami menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 10.11 pagi dan bergegas menghantar enam anggota bomba diketuai Komander Operasi PBK I Mastin Suli ke lokasi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang terletak 13 kilometer dari Balai Bomba Ranau kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan bekas surau tidak kekal berukuran 30x30 kaki persegi terbakar 96 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan hos sepanjang 200 kaki, dua jet defensive menggunakan sumber air terbuka (sungai 50 meter dari lokasi kebakaran),” katanya.
Menurut Rantey, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tambahnya, pemeriksaan dilakukan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 12.10 tengah hari.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap kejadian kebakaran terutamanya ketika musim panas dan berangin.
“Orang ramai perlu mengutamakan keselamatan kerana kebakaran di kawasan terbuka boleh menjadi tidak terkawal dan boleh membawa bencana termasuk kehilangan aset berharga, rumah serta nyawa.
“Jika terdapat pembakaran terbuka yang tidak dapat dielakkan, ia mesti dipantau dan dikawal bagi mengelakkan api merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.
Bagi kecemasan kebakaran atau perkhidmatan khas, orang ramai boleh menghubungi Bomba Ranau 24 jam di 088-878779, hotline 019-2449348 atau 999.