RANAU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun (gambar) menegaskan tiada siapa boleh menuduh Kerajaan Negeri pimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah sebagai berdiam diri dalam isu pulangan hasil cukai 40 peratus.
Beliau berkata Sabah telah membuat permintaan terhadap statistik hasil Persekutuan sebanyak 19 kali sebagai sebahagian daripada rundingan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata permintaan berulang kali tersebut mencerminkan betapa tekadnya Sabah mendesak Putrajaya untuk mendapatkan angka yang tepat bagi mengira jumlah sebenar yang berhak diterima oleh negeri ini.
“Kami meminta angka itu sebanyak 19 kali. Tanpa data yang betul bagaimana kita mahu menuntut apa yang menjadi hak kita?.
“Ini bukan soal menjerit dalam khalayak ramai. Ini soal memastikan rakyat kita benar-benar menerima wang itu dan bukan sekadar mendapat tepukan,” katanya sambil menambah bahawa rundingan memerlukan kesabaran, ketegasan dan kejelasan.
Berucap kepada golongan belia dan komuniti beliau menegaskan bahawa tanpa data yang disahkan Sabah tidak dapat menetapkan garis dasar yang jelas untuk tuntutanya.
Masidi menjelaskan bahawa walaupun Kerajaan Persekutuan kini lebih terbuka untuk berbincang namun proses tersebut kekal bersifat teknikal dan sensitif.
Beliau mengingatkan bahawa walaupun Sabah memenangi satu kes mahkamah ia tidak secara automatik membawa kepada bayaran serta-merta kerana penyelesaian kewangan masih perlu melalui kelulusan rasmi Persekutuan.
Atas sebab itu beliau menekankan kepentingan mengekalkan hubungan kerja yang konstruktif dengan Putrajaya berbanding mengamalkan pendekatan konfrontasi.
Beliau juga mendedahkan bahawa pada beberapa ketika agensi Persekutuan melengahkan penyerahan statistik hasil atau mengemukakan maklumat yang tidak lengkap sekali gus memaksa pegawai kewangan negeri untuk mengira sendiri jumlah keseluruhan yang layak diterima oleh Sabah.
Walaupun berdepan cabaran tersebut katanya kerjasama tetap satu-satunya pendekatan yang realistik dan produktif.
“Tiada nilai kepahlawanan dalam menjerit di luar pejabat sedangkan anak-anak kita masih tidak menerima dana.
“Kepimpinan sebenar ialah menyampaikan hasil secara senyap, berterusan dan profesional,” katanya.
Masidi turut mengkritik beberapa tokoh politik yang menggunakan bahasa kesat dan serangan peribadi.
Beliau berkata tingkah laku sedemikian menjejaskan maruah, memecah-belahkan masyarakat dan bercanggah dengan nilai masyarakat Dusun yang terkenal dengan kesopanan dan sifat berhemah.
“Orang Dusun adalah orang yang menghormati. Kita tidak mencerca orang lain.
“Jika seseorang sudah memaki hamun sebelum menang bayangkan apa yang akan berlaku apabila mereka berkuasa. Itu bukan jenis pemimpin yang kita didik,” ujarnya lagi.
Masidi turut menekankan beberapa inisiatif utama yang berkait dengan kejayaan Sabah dalam mendapatkan hak hasil 40 peratus.
Antaranya termasuk bantuan kewangan bulanan untuk warga Sabah berusia 60 tahun ke atas, skim bantuan deposit perumahan 10 peratus untuk pembeli rumah pertama yang layak serta pendidikan pengajian tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri yang disasarkan untuk dilaksanakan menjelang 2027.
Katanya inisiatif ini menunjukan bagaimana hak kewangan diterjemahkan secara langsung kepada peningkatan dalam kehidupan seharian rakyat meliputi perumahan, pendidikan dan kebajikan.
Masidi juga mengingatkan orang ramai mengenai parti-parti politik yang dikaitkan dengan insiden kontroversi termasuk laporan kerap mengenai kad pengenalan yang “terbakar” dalam tempoh 2018 hingga 2020 serta dakwaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bergerak yang tergesa-gesa mengeluarkan dokumen gantian dalam jumlah besar.
Menurutnya situasi ini telah menjejaskan kepercayaan masyarakat dan tidak wajar dipandang ringan.
Menyentuh perbandingan dengan Sarawak beliau menjelaskan bahawa kedua-dua negeri mempunyai realiti sejarah dan ekonomi yang berbeza.
“Industri minyak dan gas Sarawak bermula pada tahun 1910 memberikan negeri itu lebih satu abad kelebihan permulaan manakala penglibatan Sabah bermula jauh kemudian.
“Kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan politiknya manakala Sabah masih berpecah kepada banyak parti tempatan.
“Sarawak kuat kerana mereka bersatu dan memilih pemimpin dengan bijak. Kita juga boleh mencapai tahap itu tetapi hanya jika kita berdiri bersama,” katanya.