RATU rock negara Ella mengakui terkejut apabila mendapat berita mengenai pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada Jumaat lalu.
Ella atau nama lengkap Nor Zila Aminuddin berkata pada awalnya sukar untuknya menerima berita mendukacitakan itu.
Advertisement

“Bila dengar berita pada awal pagi rasa macam cerita ini tak ‘real’ (betul) lebih-lebih lagi pilihan raya negeri Sabah baru saja berakhir.
“Tapi apabila ia disahkan saya betul-betul rasa kehilangan. Beliau seorang yang sangat baik,” luahnya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga balu Allahyarham di kediaman mereka di Idang Residence, Kota Kinabalu pada Ahad malam.
Ella hadir kira-kira jam 10.30 malam bersama suami Kapten Azhar Ghazali dan kakaknya, Jojie Aminuddin.

Menurut penyanyi lagu Sembilu itu beliau menyimpan banyak kenangan manis bersama allahyarham termasuk layanan mesra ketika berkunjung ke rumah Bung Moktar dan isteri.
“Arwah pernah gorengkan kami pisang goreng semasa kami datang ke sini (Idang Residence) sebelum ini. Kami jumpa Datin Seri, duduk santai makan sama-sama.
“Bagi saya arwah seorang yang sangat baik, peramah dan sangat fatherly,” katanya.
Ella turut berkongsi bahawa Bung Moktar merupakan peminatnya sejak zaman universiti sebagaimana diceritakan sendiri oleh isteri arwah Datin Seri Nor Asidah Alimuddin.
“Datin Seri yang bocorkan rahsia katanya masa dia belajar di universiti dia tampal poster Ella,” katanya sambil tersenyum.
Dalam kunjungan itu Ella menitipkan pesanan penuh empati kepada balu allahyarham agar terus tabah menghadapi hari-hari mendatang.
“Saya harap beliau (Datin Seri) kekal kuat. Saya pasti pada hari-hari mendatang, rasa kehilangan itu akan lebih terasa,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Gleneagles pada 1.46 pagi Jumaat lalu (5 Disember).
Sebelum ini Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafry Ariffin memaklumkan bahawa Allahyarham Bung Moktar mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.