Kota Kinabalu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah akan menguatkuasakan larangan ke atas kenderaan barangan selama empat hari sempena Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2026.
Larangan itu akan dilaksanakan pada 19 hingga 20 Mac serta 28 hingga 29 Mac bagi melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan.
Pengarah JPJ Sabah Datuk Mohd Harris Ali berkata operasi khas yang bermula Isnin hingga 29 Mac itu melibatkan seramai 286 anggota penguat kuasa di seluruh negeri.
Beliau berkata operasi tersebut bertujuan mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya melalui penguatkuasaan lebih ketat serta peningkatan kehadiran anggota di lokasi strategik.
“Penguatkuasaan akan menumpukan sembilan kesalahan utama termasuk memandu laju, melanggar lampu isyarat merah, menggunakan lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan muatan berlebihan,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 3,778 saman dikeluarkan dalam operasi musim perayaan tahun lalu selepas 28,281 kenderaan diperiksa dengan 3,588 daripadanya dikenakan tindakan serta 20 kenderaan disita.
Selain itu, lebih 30 program advokasi keselamatan jalan raya turut dilaksanakan menerusi kempen “Pandu Selamat, Tiba Selamat”.