KOTA BELUD: Lapan orang cedera selepas dua kenderaan bertembung sebelum salah sebuah kereta itu terbakar di Jalan Tuaran-Kota Belud, Bukit Kelawat di sini, malam ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi, yang hanya dinaiki pemandunya, dan sebuah Proton Saga VVT yang membawa tujuh individu, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, ASP Ahmad Fathie Md Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta Proton Saga dalam perjalanan menghala ke Tuaran dari arah Kota Belud apabila ia bertembung dengan Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat impak itu, kereta Perodua Myvi terbakar. Kesemua mangsa terbabit dihantar ke Hospital Kota Belud untuk menerima rawatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau juga menggesa saksi atau sesiapa yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 11.33 malam.
Sepasukan anggota berserta satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan itu mengakibatkan Perodua Myvi terbakar 100 peratus. Semua mangsa sudah dikeluarkan dari kedua-dua kenderaan dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.
“Pasukan bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu melalui sumber air jentera,” katanya.
Elgie berkata, pasukan EMRS juga menjalankan rawatan awal kepada semua mangsa di lokasi kejadian.