KIULU: Usaha mengumpulkan data pelancongan secara digital, khususnya di kawasan luar bandar Sabah, kini menjadi tonggak penting bagi membolehkan perancangan sektor itu dilaksanakan secara lebih strategik dan berkesan.
Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata inisiatif itu bukan sekadar menaik taraf kaedah perekodan maklumat, tetapi membuka ruang baharu untuk memahami corak pelancongan luar bandar secara lebih menyeluruh.
“Data yang tepat amat diperlukan untuk melihat realiti sebenar industri pelancongan berasaskan komuniti, di samping memastikan setiap kehadiran pelancong di kawasan luar bandar Sabah direkodkan dengan lebih tepat dan tersusun,” katanya selepas merasmikan penutupan Kiulu Adventure Challenge (KAC) kali keenam di Dewan Terbuka Pekan Kiulu, di sini, pada Ahad.
Menurut Joniston, kejayaan projek perintis pendigitalan data pelancongan di Kiulu membuktikan teknologi mampu mengubah kaedah pengurusan pelancongan luar bandar dan wajar diperluaskan ke daerah lain di seluruh Sabah.
“Projek ini membantu mengenal pasti kawasan yang perlu diberi perhatian serta pelaburan bagi memperkembangkan industri pelancongan luar bandar.
“Ia juga merupakan hasil kerjasama strategik antara Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA), sekali gus membolehkan pemahaman lebih mendalam terhadap pola pelancong serta memperkukuh strategi promosi dan perancangan masa depan,” katanya.
Mengulas penganjuran KAC, Joniston yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri berkata acara itu bukan sekadar sukan lasak, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan luar bandar yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
“Kiulu sudah lama dikenali sebagai contoh pelancongan berasaskan komuniti. Ia turut menjalinkan kerjasama antarabangsa, antaranya dengan Nanhua University Taiwan dalam bidang agro-pelancongan, selain menerima lawatan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi meninjau usaha pelancongan komuniti di sini,” katanya.
Beliau berkata penganjuran KAC juga selari dengan persiapan Sabah menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan penekanan kepada tiga elemen utama iaitu budaya, pengembaraan dan alam semula jadi di bawah tema ‘Explore Sabah’.
KAC merupakan acara sukan yang menggabungkan berbasikal lasak, larian denai dan berakit air, sekali gus memainkan peranan penting dalam mempromosikankeindahan semula jadi Kiulu, penglibatan komuniti setempat serta membuka peluang pemerkasaan luar bandar dan pembangunan pelancongan.
Acara itu menampilkan cabaran berbasikal lasak sejauh 30 kilometer, larian denai 11 kilometer dan berakit air sejauh tiga kilometer.
Bagi kategori individu, peserta mengharungi 30 kilometer berbasikal lasak dan 11 kilometer larian denai, selain kategori larian santai sejauh enam kilometer.
Kategori berpasukan pula melibatkan tiga peserta dengan gabungan cabaran 30 kilometer berbasikal lasak, 11 kilometer larian denai dan tiga kilometer berakit air, bagi kategori lelaki dan campuran.
Difahamkan, lebih 700 peserta dari Malaysia, Indonesia, Australia dan Brunei menyertai acara berkenaan, sekali gus mengangkat Kiulu sebagai antara destinasi utama pelancongan pengembaraan, kebudayaan dan sukan di Sabah.