KOTA KINABALU: Atlet gusti lengan Malaysia, Michael Ford, 36, atau lebih dikenali sebagai Mike dari Sabah, mencetuskan kejutan besar pada 29 November lalu apabila menewaskan lawannya dari Kanada, Matthieu ‘The Butcher’ Boucher, dalam satu kejohanan di Toronto untuk merangkul gelaran acara Global Elite Arm-wrestling.
Kemenangan Ford ke atas bekas juara kebangsaan dan atlet berpengalaman berusia 39 tahun dari Quebec itu menjadi detik penting buat sukan gusti lengan Malaysia di pentas dunia.
Beliau merupakan satu-satunya wakil dari Asia dalam pertandingan antarabangsa berkenaan dan berjaya mencatat kemenangan mutlak 3-0 dalam format Supermatch lima pusingan sekali gus mengejutkan penonton di The Great Canadian Casino and Resort.
Acara yang menggunakan format Supermatch satu lawan satu itu menyaksikan Ford mendominasi lawannya dalam ketiga-tiga pusingan, menyebabkan juara Kanada itu tidak mampu meraih walau satu kemenangan.
“Kemenangan ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk Malaysia dan bukti bahawa kita mampu bersaing serta menang ke atas atlet terbaik di dunia,” kata Ford selepas perlawanan.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Global Elite Armwrestling (GEA) dan diadakan sempena Major Armwrestling Championship (MAC). GEA bertindak sebagai penganjur utama dan penaja acara manakala meja serta peraturan standard digunakan daripada MAC.
Format Supermatch bermaksud semua perlawanan telah diatur terlebih dahulu sebagai pertarungan satu lawan satu, memastikan atlet mengetahui lawan masing-masing sebelum bertanding.
Kejohanan itu menarik penyertaan atlet antarabangsa dengan peserta dari negara seperti Ukraine, Rusia, Poland, Sweden, Latvia, Slovakia, Amerika Syarikat dan New Zealand.
Acara terbabit turut menampilkan bakat bertaraf tinggi termasuk legenda gusti lengan antarabangsa, bintang meningkat naik Milo Larratt, serta atlet heavyweight seperti Alex Kurdecha, Maayan Shtrengas dan Alex Beziaykov.
Kemenangan Ford hadir dalam suasana pertandingan bertaraf dunia yang turut menyaksikan penyertaan nama-nama terkenal seperti Erik Fahlgren dan Coach Ray.
Ford menambah gelaran terbaharu ke dalam senarai pencapaiannya sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara bakat elit gusti lengan yang sedang meningkat naik di peringkat dunia.