KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah pada Jumaat menyerahkan secara rasmi Pusat Pakar Pergigian Sabah kepada Kementerian Kesihatan (KKM) Malaysia di sini, Jumaat.
Majlis serah terima itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Bangunan JKR, Ir. Evelyn Pius, kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Zahrul Hakim Abd, dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni sebagai saksi.
Projek berkenaan diluluskan di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-10 (RP3, RMK10) melibatkan kos keseluruhan RM32.76 juta, termasuk kos kontrak serta perolehan kelengkapan perubatan dan bukan perubatan. Ia siap sepenuhnya pada 5 Ogos tahun ini.
Pusat tersebut menempatkan 18 bilik rawatan pergigian lengkap, selain kemudahan sokongan termasuk Makmal Pergigian, Bilik Pensterilan Pusat dan Bilik X-Ray.
“Empat kepakaran pergigian utama turut dihimpunkan di bawah satu bumbung iaitu ortodontik, periodontik, pergigian restoratif dan pergigian kesihatan awam.
“Kemudahan komprehensif ini pastinya akan diterima baik oleh rakyat Sabah dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, termasuk pesakit penyakit kronik,” kata Lukanisman dalam ucapannya semasa majlis itu.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, termasuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pelaksana serta kontraktor yang dilantik atas komitmen menjayakan projek berkenaan.
Pusat pakar berkenaan dijangka mula beroperasi awal Januari dan mampu menampung sehingga 150 pesakit setiap hari.
Sebagai pusat sehenti perkhidmatan pergigian untuk penduduk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, ia bakal meningkatkan akses kepada rawatan pakar pergigian serta membantu mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada.
Kerjasama erat antara KKM, JKR Sabah dan Kerajaan Negeri mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkasa kemudahan kesihatan melalui tadbir urus yang baik supaya perkhidmatan kesihatan terbaik dapat disampaikan demi kesejahteraan rakyat.