BELURAN: Seorang lelaki berusia 62 tahun ditemui maut selepas dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Trusan Sapi, Kampung Bakong-Bakong Sapi di sini, pada Isnin.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Macheal, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 10.19 pagi Isnin.
Menurutnya, laporan awal memaklumkan bahawa mangsa, seorang penduduk kampung berkenaan, dilihat mandi seorang diri di sungai itu sekitar jam 8 malam pada Ahad, namun tidak pulang ke rumah sehingga keesokan harinya.
“Penduduk kampung telah berusaha mencari mangsa menggunakan bot dalam jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam kenyataan, Isnin.
Pasukan dari BBP Beluran bergegas ke lokasi sejauh 74 kilometer dan tiba pada jam 12.06 tengah hari.
“Penduduk kampung akhirnya menemui mangsa dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang. Mangsa dipercayai dibaham buaya,” tambah beliau.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 2 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.