Kota Kinabalu: Dua gol daripada Ajdin Mujagic, termasuk satu jaringan lewat pada masa kecederaan, membantu Sabah mengikat Selangor FC 2-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Likas pada Ahad.
Seperti pertemuan terdahulu antara kedua-dua pasukan dalam saingan liga minggu lalu, Sabah FC terlebih dahulu membuka jaringan apabila Ajdin menanduk masuk gol pembukaan hasil hantaran Jafri Chew, selepas percubaan awalnya ditepis oleh penjaga gol Sikh Izhan Nazriel Sikh Azman.
Tiada tambahan jaringan selepas itu walaupun kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang sepanjang babak pertama.
Selangor FC menyamakan kedudukan pada minit ke-65 hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Sabah, Dane Ingham, apabila bola hantaran lintang tertampan ke dalam gawang selepas mengenai pahanya.
Kelekaan sekali lagi menghukum Sabah FC apabila Selangor FC mendahului pada minit ke-80 menerusi tandukan melengkung Nooa Laine hasil sepakan percuma yang diambil oleh Faisal Halim.
Sabah FC terus mengasak mencari gol penyamaan selepas ketinggalan dan usaha mereka membuahkan hasil pada masa kecederaan. Ajdin bertindak pantas menyambar bola hantaran Miguel Cifuentes untuk menjaringkan gol kedua pasukan.
Ketua jurulatih Jean Paul de Marigny mengakui pasukannya bermula perlahan pada separuh masa kedua, namun memuji semangat juang pemain yang berjaya mencatat keputusan seri.
“Kami sangat berpuas hati dengan cara kami memulakan permainan. Kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol dan sepatutnya boleh menamatkan perlawanan lebih awal.
“Terdapat beberapa perkara taktikal yang perlu diperbaiki pada separuh masa pertama dan kami telah membincangkannya semasa rehat.
“Namun selepas permainan bersambung, kami berhenti bermain mengikut gaya dan struktur asal kami.
“Apabila prinsip permainan tidak diikuti, masalah akan timbul dan itulah yang berlaku. Selepas beberapa pertukaran pemain dilakukan, kami kembali bermain seperti biasa dan berjaya mendapatkan gol yang kami cari.
“Ia satu pengajaran penting untuk semua pemain agar sentiasa berpegang pada prinsip permainan jika mahu mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa para pemain perlu kekal fokus dan lebih tajam dalam aksi timbal balik.
“Tiada jalan pintas atau keajaiban. Pemain hanya perlu kekal berdisiplin dalam struktur permainan dan apabila peluang datang, mereka mesti bertindak dengan lebih kejam — itulah tahap seterusnya yang perlu kami capai.”
Aksi timbal balik dijadual berlangsung pada 30 November di Stadium MBPJ.