Wed, 1 Apr 2026
Headlines:
MoU Pembiayaan Ekonomi Biru Sabah-Maybank
Published on: Tuesday, November 11, 2025
Published on: Tue, Nov 11, 2025
By: Larry Ralon, Esther Glorie Leow
Text Size:
Text:
MoU Pembiayaan Ekonomi Biru Sabah-Maybank
HAJIJI (tengah) menyaksikan pertukaran MoU Blue Financing antara Kerajaan Sabah dan Maybank Group Global Banking.
Kota Kinabalu: Sabah melakar satu lagi sejarah penting dalam pembangunan ekonomi mampan, apabila Kerajaan Negeri memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Blue Financing bersama Maybank Group Global Banking bagi memperkukuh pelaksanaan agenda Ekonomi Biru di negeri ini.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Isnin, menandakan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah sebagai peneraju utama dalam pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut dan maritim di rantau ini.

Advertisement
Hajiji berkata, MoU ini merupakan langkah penting memperkenalkan Pembiayaan Mampan Berasaskan Ekonomi Biru (Blue Financing) yang akan membuka akses kepada kemudahan kewangan bagi projek, kajian dan syarikat yang memberi impak positif kepada ekonomi serta alam sekitar, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Melalui kerjasama ini, Maybank bukan sahaja menyediakan kemudahan kewangan, tetapi turut memberi khidmat nasihat, pemantauan serta jaringan industri bagi membantu pelaksanaan projek-projek ekonomi biru di Sabah,” katanya.

SPONSORED CONTENT
Kota Kinabalu: KOTA KINABALU: Fiesta Mega Raya (FMR) 2026 is set to be the largest and most prestigious Hari Raya celebration in Sabah, taking place from March 7 to 18, at the Sabah International Convention Centre (SICC), here.
Katanya, pembiayaan biru berperanan sebagai pemangkin transformasi Ekonomi Biru melalui penerapan teknologi tinggi, pembangunan hab penyelidikan dan pembangunan (R&D), harta intelek (IP), pewujudan peluang pekerjaan serta pengukuhan daya saing ekonomi negeri.

Hajiji berkata, Sabah memiliki garis pantai sepanjang 2,383 kilometer dan kawasan perairan yang luas, menjadikannya antara negeri paling berpotensi membangunkan ekonomi berasaskan laut di Malaysia.

Advertisement
“Namun, potensi besar ini belum dimanfaatkan sepenuhnya sebelum ini. Maka, Dasar Ekonomi Biru Sabah diperkenalkan untuk mempelbagaikan struktur ekonomi negeri dan memastikan pembangunan yang mampan serta inklusif,” katanya.

Beliau menegaskan, kerjasama strategik dengan Maybank ini akan membantu menjadikan Sabah hab Ekonomi Biru yang progresif dan mampan, seterusnya memberi manfaat langsung kepada rakyat dan komuniti pesisir melalui peningkatan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan.

Advertisement
Sebagai langkah memperkukuh pelaksanaan dasar berkenaan, Hajiji berkata kerajaan negeri menubuhkan Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) pada 16 Jun lalu sebagai platform penyelarasan utama bagi dasar dan strategi pelaksanaan ekonomi biru.

Penubuhan MEBS itu, katanya, membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memacu potensi laut dan sumber maritim negeri secara tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi, sejajar aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau turut menyorot kejayaan pelaksanaan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) bagi membangunkan Pelabuhan Bertaraf Kesatuan Eropah (EU) khusus untuk pendaratan ikan tuna dan hasil laut dalam — satu langkah penting dalam memperkukuh nilai tambah industri perikanan negeri.

Selain itu, Hajiji berkata pewujudan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat akan menjadi pemangkin kepada pelaburan teknologi marin, tenaga boleh diperbaharui dan pemprosesan makanan laut bernilai tambah tinggi.

Beliau turut mengingatkan kejayaan Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (Sibec) 2024 yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara, sebagai bukti bahawa Sabah kini diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang pembangunan ekonomi biru.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Maybank atas kepercayaan dan komitmen mereka dalam merealisasikan inisiatif Blue Financing di Sabah.

“Saya menyeru kepada semua usahawan muda dan pemain industri agar turut bersama kerajaan negeri dalam menjayakan agenda ini. Jadikan Blue Financing sebagai pemangkin transformasi ekonomi biru Sabah demi kesejahteraan generasi akan datang,” kata Hajiji.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here