SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di rumahnya di Jalan Labuk Batu 8, di sini, selepas pintu rumahnya yang terkunci berjaya dibuka oleh pasukan bomba, Ahad.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, sebuah jentera bersama anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai susulan panggilan kecemasan pada jam 9.07 pagi melalui MERS999.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 9.36 pagi dan mendapati pintu rumah dalam keadaan terkunci dari dalam.
“Anggota kemudian menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki warga emas tidak sedarkan diri di dalam bilik.
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 10.14 pagi dan tamat dua minit kemudian selepas pasukan bomba memastikan tiada sebarang bahaya lain di lokasi.
Mayat mangsa, yang dikenali sebagai Wong Kim Hau, berusia 66 tahun, diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.