TAWAU: Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin mengesahkan parti itu akan bertanding lapan kerusi, termasuk dua kerusi baharu pada Pilihan Raya Umum Negeri Sabah ke -17.
Salah satu kerusi baharu itu ialah Tanjung Aru, yang parti sudah pun nyatakan secara terbuka, manakala satu lagi kerusi di kawasan pedalaman yang Chan enggan mendedahkan.
Beliau hanya meminta media menunggu sehingga Sabtu apabila lapan calon DAP Sabah diumumkan.
Chan, yang juga Pengarah Dasar Nasional DAP, berkata tiga kerusi ‘memang terpaksa’ menampilkan muka baharu kerana bekas Adun Sri Tanjong dan Elopura masing-masing melompat menyertai Parti Warisan.
Kerusi Tanjong Papat juga akan ada wajah baharu berikutan tindakan bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung keluar parti baru-baru ini.
“Memang akan ada wajah baru… tiada masalah. Ada wajah baru, ada wajah wanita dan ada wajah belia,” katanya kepada media di sini, pada Khamis.
Chan menolak laporan sebuah portal berita yang menyatakan calon DAP di Tawau bakal diisi orang luar (dari Sandakan) dan menegaskan kerusi di Tawau akan ditandingi oleh anak jati Tawau.
Katanya, laporan tersebut hanyalah bersifat spekulasi dan khabar angin.
Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) pada 2020, DAP Sabah menang enam kerusi iaitu Tanjong Papat, Luyang, Likas, Kapayan, Elopura dan Sri Tanjong, yang parti akan pertahankan dalam PRU nanti, dengan tambahan dua lagi kerusi baharu.