Kota Kinabalu: Ketua Wanita DAP Sabah Bronica Sikula menggesa Kerajaan Persekutuan menunaikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) agar wanita di negeri ini benar-benar dapat diperkasa.
Beliau berkata walaupun inisiatif Persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara) telah membantu meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah, khususnya wanita, bantuan sedemikian masih tidak mencukupi selagi jurang pembangunan asas terus wujud.
“Ramai wanita di Sabah masih berdepan kemudahan kesihatan yang tidak mencukupi, peluang ekonomi terhad serta infrastruktur asas yang lemah di beberapa kawasan.
“Bantuan seperti Sara memberi sedikit kelegaan untuk membeli barangan keperluan ketika kos sara hidup meningkat. Namun bantuan sahaja tidak mencukupi jika isu pembangunan asas masih tidak diselesaikan, khususnya di Sabah,” katanya.
Beliau berkata tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini, ‘Give to Gain’, amat bertepatan dengan situasi Sabah apabila keadilan, peluang dan sokongan diberikan kepada wanita serta kepada negeri-negeri pengasas Malaysia, maka negara secara keseluruhannya akan menjadi lebih kukuh.
“Wanita memainkan peranan penting dalam membesarkan anak-anak, menyokong ekonomi keluarga dan menjaga komuniti mereka. Namun pengiktirafan terhadap peranan itu tidak seharusnya sekadar simbolik… ia mesti disokong dengan dasar yang sebenar serta pembangunan yang adil,” katanya.