TAWAU: Polis mengesahkan kejadian gaduh gempar membabitkan dua kumpulan pemuda di Bazar Ramadan Sabindo di sini, pada petang Jumaat lepas diklasifikasikan sebagai kes merusuh di tempat awam.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata seramai lapan suspek sudah ditangkap, melibatkan tujuh lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing yang berumur antara 17 hingga 34 tahun.
“Siasatan dibuka di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya pada Sabtu.
Jasmin berkata dalam operasi penangkapan suspek, polis turut merampas satu utas rantai motosikal yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam pergaduhan tersebut.
Kesemua suspek kini ditahan di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sementara menunggu proses permohonan tahanan reman sekurang-kurangnya selama enam hari untuk siasatan lanjut.
Jasmin berkata laporan kes itu dibuat oleh seorang pegawai polis pada jam 8.37 malam selepas melihat satu hantaran video pergaduhan membabitkan beberapa lelaki di tapak Bazar Ramadan Sabindo yang tular di media sosial.
Mengulas motif kejadian, beliau berkata siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati salah satu pihak terhadap keputusan sebuah acara lumba lari jalanan selepas mendakwa pihak lawan tidak mematuhi peraturan perlumbaan.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan setakat ini siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur wang pertaruhan dalam acara lumba lari jalanan berkenaan, yang lazimnya popular diadakan pada waktu malam di jalan raya berturap.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar masih dijalankan dan polis memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat bukti wujud unsur perjudian dalam acara lumba lari berkenaan,” katanya.
Terdahulu, beberapa klip video memaparkan pergaduhan antara kedua-dua kumpulan terbabit tular di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan WhatsApp, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai.
Berdasarkan rakaman video yang beredar, insiden itu berlaku ketika orang ramai sedang membeli juadah berbuka puasa di bazar berkenaan, sebelum keadaan menjadi kecoh akibat tindakan agresif kedua-dua pihak yang terlibat.