TELUPID: Tekun Nasional sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) memperuntukan pembiayaan sebanyak RM1.26 bilion kepada 67,248 usahawan di Sabah setakat September 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata bagi kawasan Telupid Tekun Nasional menyalurkan sebanyak RM37.4 juta kepada 1,320 usahawan bagi tempoh sama.
“Kita berharap menerusi pembiayaan ini dapat membantu peniaga terus maju sesuai dengan perusahaan masing-masing.
“Inisiatif ini juga bersesuaian dengan usahawan Telupid yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan seperti kraftangan dan industri makanan yang menjadi kekuatan kepada kita.
“Mereka bukan sahaja menjana pendapatan untuk keluarga tetapi turut membuka peluang pekerjaan dan menggerakkan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rahmah Mesra Bersama Usahawan Tekun di Dewan Kampung Gana Jati pada Ahad.
Hadir sama Pengerusi Tekun Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Pengerusi Persatuan Peniaga Telupid Felix Joseph Saang.
Mengulas lanjut beliau berkata Belanjawan 2026 yang bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan terhadap usahawan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
Daripada jumlah sama sebanyak RM2.5 bilion disalurkan kepada pelbagai agensi termasuk Tekun Nasional untuk manfaat usahawan PMKS.
“Ini menunjukan komitmen Tekun Nasional dalam memperkasa ekonomi rakyat melalui sokongan pembiayaan mikro khususnya kepada komuniti luar bandar dan usahawan kecil yang memerlukan suntikan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu Ewon juga menggesa kepada penduduk di kawasan sekitar untuk mengambil peluang daripada Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM), Skim Pembiayaan Informal (SPUT) dan lain-lain skim yang ditawarkan oleh Tekun Nasional.
Beliau turut menekankan kepentingan menyertai program latihan dan bimbingan yang disediakan oleh agensi di bawah Kuskop kerana kejayaan perniagaan bukan hanya bergantung kepada modal tetapi ilmu pengetahuan dan kemahiran keusahawanan.
Menurutnya di bawah Tekun Nasional sahaja sejumlah RM550 juta diperuntukan untuk kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil.
Ewon turut menyatakan kebajikan peniaga kecil di Sabah dan Sarawak juga tidak pernah dilupakan termasuk menjana ekonomi setempat melalui koperasi.
Sementara itu Abdullah Sani berkata sebanyak RM109 juta telah disalurkan kepada 2,006 usahawan Tekun di Sabah setakat ini manakala RM8.5 juta telah disalurkan kepada 207 usahawan di Telupid bagi tempoh yang sama.