TAWAU: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan Apas Balung berhampiran Kampung Sungai Burung di sini kira-kira jam 11.45 pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tangki, juga lelaki tempatan berumur 36 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.20 tengah hari berhubung kemalangan yang melibatkan pertembungan antara sebuah Perodua Bezza dengan lori tangki jenis Nissan,” katanya di sini, Khamis.
Menurut Jasmin, siasatan awal mendapati lori tangki itu dalam perjalanan dari arah Merotai menuju ke Pekan Kunak sambil membawa muatan minyak kelapa sawit mentah.
“Apabila tiba di lokasi, kereta terbabit yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki laluan jentera berat itu dan bertembung dengannya.
“Impak menyebabkan lori tangki terbabas ke pembahagi jalan di sebelah kanan dan terbalik di tengah jalan raya, manakala kereta pula tercampak semula ke laluan asalnya,” katanya.
Beliau berkata, pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balung mengesahkan kematian pemandu kereta itu selepas pemeriksaan dilakukan di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.