Kota Kinabalu: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata reputasi antarabangsa Malaysia terus meningkat susulan kejayaan diplomatik negara yang menjadi pengantara dalam konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand baru-baru ini.
Beliau berkata Perdana Menteri kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan rundingan di Kuala Lumpur selepas usaha diplomatik berterusan yang melibatkan beberapa panggilan telefon dengan pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping.
Advertisement

“Presiden Trump menghubungi saya pada jam 6.50 pagi Isnin dan perkara pertama yang dikatakannya ialah ‘Perdana Menteri Anwar, kerja yang hebat. Terima kasih kerana membantu menyelesaikan konflik ini’,” kata Anwar.
Beliau turut menyentuh mengenai rundingan perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat, khususnya berkaitan tarif yang boleh menjejaskan eksport elektronik dan semikonduktor negara yang dianggarkan bernilai RM200 bilion setahun.
Malaysia, katanya, berjaya merundingkan pengurangan tarif daripada 25 peratus kepada 19 peratus, sambil mengekalkan pendirian tegas dalam isu penting seperti Dasar Ekonomi Bumiputera dan piawaian pensijilan halal.
“Saya memberitahu Trump bahawa kita adalah negara berdagang, kita percaya kepada perdagangan bebas. Saya tidak bertindak seperti sesetengah orang yang berkata, ‘Tuan Presiden, maafkan saya’. Tidak, tidak. Saya mewakili Malaysia. Rakyat Malaysia adalah bangsa yang bermaruah, merdeka dan berdaulat serta tidak tunduk kepada sesiapa,” katanya.
Anwar turut menyentuh perjanjian pembelian pesawat oleh Malaysia Airlines baru-baru ini, termasuk 30 pesawat Boeing dari Amerika Syarikat dan beberapa pesawat Airbus dari Perancis, yang menurutnya menyokong kedudukan Malaysia dalam rundingan perdagangan antarabangsa.
Menyentuh pembangunan pertanian, beliau berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada penggunaan tanah subur dan konsep Ekonomi Biru di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Ketika ini, katanya, sebanyak 28 Pertubuhan Kawasan Peladang menguruskan 842 unit pertanian yang melibatkan 64,108 orang ahli di seluruh negara.
“Malaysia terus mengekalkan pendirian dasar luar yang berprinsip, termasuk pendirian kita dalam isu kemanusiaan di Gaza, sambil kerajaan kekal komited untuk melayan semua kanak-kanak Malaysia secara adil tanpa mengira kaum,” katanya.
“Masalah liputan dan sambungan di kawasan luar bandar adalah antara isu yang sedang diberi perhatian serius oleh kerajaan,” tambah beliau.