Kuala Lumpur: Sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2026, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Arthur Joseph Kurup mengumumkan pengurangan kuota pembalakan tahunan Malaysia di samping memperluas usaha mempromosikan ekopelancongan berasaskan hutan.
“Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-82 bersetuju menetapkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) pada kadar 890,000 hektar bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), berbanding 1,165,300 hektar pada rancangan sebelumnya.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh usaha pemuliharaan sambil memastikan bekalan kayu yang stabil dan mampan untuk industri,” katanya dalam satu kenyataan, Ahad.
Beliau berkata pensijilan pengurusan hutan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), berasaskan Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pengurusan Hutan Mampan (MC&I (SFM)), dilaksanakan bagi memastikan produk industri kayu berasal daripada sumber yang sah dan mampan.
“Sehingga kini, sejumlah kawasan hutan (hutan semula jadi dan ladang hutan) seluas 5.92 juta hektar telah diperakui di bawah MC&I (SFM) melalui MTCS,” katanya.
Arthur menjelaskan pelaksanaan pensijilan itu membantu mengurangkan penebangan hutan, melindungi kawasan tadahan air serta kualiti air, memulihara alam sekitar dan sumber hutan, selain meningkatkan taraf hidup komuniti tempatan yang bergantung kepada sumber hutan.
Beliau turut menggalakkan kerajaan negeri mengutamakan penggunaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi membiayai penambahbaikan proses permohonan dan sistem pembayaran, seperti permit memasuki Hutan Simpanan Kekal untuk aktiviti ekopelancongan berasaskan hutan.
Selain itu, Arthur berkata kerajaan kini beralih daripada pembalakan konvensional dengan membangunkan ekopelancongan di kawasan hutan yang mempunyai ciri unik, sekali gus melindungi biodiversiti dan mewujudkan sumber pendapatan alternatif kepada komuniti setempat.
“Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kesedaran komuniti luar bandar terhadap kepentingan pemuliharaan dan kelestarian alam semula jadi melalui program latihan dan bimbingan teknikal,” katanya.
Beliau berkata antara komuniti yang terlibat termasuk Persatuan Sahabat Alam Tampik, Janda Baik (Pahang), Koperasi Usahawan Pelancongan Lembah Tembeling, Jerantut, Koperasi Pelancongan Dabong Bhd (Kelantan) serta Koperasi Sahabat Gunung Tebu Terengganu Bhd.
“Hasil daripada bimbingan ini, komuniti setempat kini berupaya mengurus dan menjalankan aktiviti serta perniagaan berasaskan ekopelancongan dan rekreasi secara lebih sistematik, berdaya saing dan mampan, tanpa menjejaskan ekosistem hutan,” katanya.
Beliau menegaskan hutan merupakan aset semula jadi negara yang amat bernilai serta memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem dan menyokong kesejahteraan manusia.
“Hutan juga membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dengan bertindak sebagai penyerap karbon semula jadi, sekali gus menstabilkan suhu global dan mengurangkan pemanasan global,” katanya.
Tema Hari Hutan Antarabangsa iaitu “Hutan dan Ekonomi” selari dengan Dasar Perhutanan Negara yang mengiktiraf hutan sebagai warisan strategik negara bagi pemuliharaan biodiversiti, perlindungan alam sekitar serta pembangunan sosioekonomi mampan.
“Pada 2025, sektor perhutanan dan pertanian menyumbang RM6.006 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menunjukkan impak ekonomi positif melalui penggunaan sumber hutan secara mampan termasuk pengeluaran kayu dan aktiviti pembalakan,” katanya.
Beliau menggesa semua pihak menghargai kepentingan hutan sebagai warisan semula jadi yang menyokong pembangunan sosioekonomi serta kesejahteraan masyarakat, selain menjadi khazanah bernilai yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.