Kota Kinabalu: Sabah mempunyai potensi besar untuk menerajui gerakan “slow food” (makanan perlahan) dan pertanian mampan di Malaysia, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Bercakap pada pelancaran awal konsep Slow Food sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Jumaat, beliau berkata walaupun istilah itu masih baharu kepada ramai orang, namun amalan tersebut telah lama berakar dalam kehidupan masyarakat luar bandar di Sabah.
Advertisement

“Di Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar — kita masih makan beras yang ditanam di kampung kita sendiri. Kita makan ikan dan sayur-sayuran yang tumbuh di halaman rumah, semuanya dalam lingkungan kurang 10km,” katanya.
Arthur menjelaskan konsep itu bukan sekadar pemakanan sihat, tetapi juga kembali kepada nilai pemakanan, sumber tempatan dan sistem makanan sara diri.
“Kita faham tanggapan bahawa makanan segera mungkin lebih murah, tetapi ia juga kerap kali makanan diproses dan kurang berkhasiat.
“Sebaliknya, ‘slow food’ memperjuangkan makanan berkhasiat dan bernilai yang diperoleh secara tempatan. Jika kita lihat gaya hidup di kampung, sebenarnya konsep ini sudah diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi,” katanya.
Beliau berkata perubahan ke arah perindustrian dan kehidupan serba pantas menyebabkan amalan pemakanan sihat dan lestari terpinggir. Justeru, konsep ini adalah usaha untuk mengembalikannya, dengan kementeriannya memberikan sokongan penuh terhadap agenda ini.
Arthur memuji pihak penganjur, Opulence Exhibition Services dan MyFood, kerana memilih Kota Kinabalu sebagai lokasi pelancaran awal.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Opulence atas kejayaan mengadakan pelancaran awal ini. Kami juga menghargai keputusan memilih HPPNK sebagai lokasi pelancaran, dan kami menantikan acara rasmi di KLCC pada Mei 2026,” katanya.
Arthur juga menyentuh pengajaran daripada tempoh berkurung Covid-19 di mana ramai rakyat Malaysia di bandar terperangkap di flat kecil tanpa akses kepada udara segar atau makanan. Ia mencetuskan kesedaran terhadap nilai kehidupan desa dan sistem makanan tradisional.
“Ketika itu ramai mula sedar bahawa tinggal di kampung sebenarnya bukanlah sesuatu yang buruk. Mereka masih boleh memancing, memetik durian atau menanam sayur. Perubahan minda inilah yang kita mahu sokong dan kekalkan,” katanya.
Arthur memberi amaran bahawa kebergantungan Malaysia terhadap import makanan — termasuk lebih 40 peratus keperluan beras — adalah tidak mampan.
“Semasa Covid, negara jiran berhenti mengeksport beras ke negara kita. Itu membuka mata kita. Kita tidak boleh terus bergantung pada import,” katanya.
Pada 2023 sahaja, Malaysia mencatat defisit dagangan agromakanan sebanyak RM40 bilion, apabila mengimport makanan bernilai RM93 bilion tetapi mengeksport hanya RM54 bilion.
“Keterjaminan makanan adalah tanggungjawab bersama — dan kita perlukan penyertaan semua pihak termasuk sektor swasta,” katanya.
Menurut beliau, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sejumlah RM29 juta diperuntukkan kepada agensi Parma untuk melaksanakan Rantai – program nasional bagi menambah baik kecekapan rantaian bekalan daripada penanaman hingga pemasaran dan eksport.
“Dengan teknologi dan inovasi yang betul, kita boleh melepasi radius 10km. Siapa tahu, mungkin rakan kita di Semenanjung Malaysia akan dapat menikmati avokado, tarap dan lain-lain dari Sabah,” katanya.
My Food 2026, pameran makanan dan minuman (F&B) paling berprestij dan berteraskan kelestarian di Malaysia, turut dilancarkan secara rasmi dalam acara itu.
Ia dijadual berlangsung pada 7 hingga 9 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), serentak dengan International Cafe and Beverage Show 2026 (ICBS 2026).
Pra-pelancaran ini turut menandakan pembukaan penyertaan kepada usahawan makanan, pengeluar tempatan, agropreneur, komuniti slow food dan inovator makanan dari seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak.