Kota Kinabalu: Dewan Masyarakat Kota Kinabalu yang mengalami kerosakan melebihi 50 peratus akibat kebakaran baru-baru ini tidak akan dirobohkan, sebaliknya akan dibaik pulih dan dikekalkan dalam bentuk asalnya.
Mayor Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata keputusan itu diambil dengan mengambil kira kepentingan sejarah bangunan berkenaan.
Advertisement

“Buat masa ini, kita tiada perancangan untuk merobohkan dewan ini. Kita mahu mengekalkan struktur asalnya sebagai sebahagian daripada usaha memelihara sejarah dan identiti Kota Kinabalu,” katanya selepas melancarkan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2025 di The Magellan Sutera Resort, Jumaat.
Dr Sabin berkata beliau telah melawat tapak kejadian bersama pegawai kanan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), wakil syarikat insurans serta penilai bagi menilai tahap kerosakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kerosakan ketara melebihi 50 peratus, khususnya pada bahagian bumbung yang runtuh dan dinding dewan yang kebanyakannya menggunakan bahan kayu dan papan lapis yang mudah terbakar,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, struktur konkrit bangunan itu masih kukuh, bermakna kerja-kerja pemulihan boleh dijalankan tanpa perlu perobohan sepenuhnya.
DBKK kini sedang menunggu laporan penuh siasatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum mengemukakan cadangan rasmi kepada Kabinet Negeri.
“Kita akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Kerajaan Negeri, termasuk mengekalkan struktur asal bangunan. Pada masa sama, kita mungkin akan memperindah landskap sekelilingnya bagi menambah nilai estetik,” katanya.
Menurut Dr Sabin, dewan tersebut bukan sahaja menjadi tempat pelbagai acara rasmi dan kemasyarakatan, tetapi juga merupakan simbol sejarah dan pembangunan Bandaraya ini.
Kebakaran yang berlaku pada awal pagi 29 Julai lalu mengejutkan ramai pihak memandangkan bangunan ikonik itu telah berdiri di tengah bandar selama lebih 60 tahun.
Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas itu bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Ketika kejadian, tiada sebarang aktiviti berlangsung di dalam dewan dan tiada kecederaan dilaporkan.
Pasukan bomba dari Balai Bomba Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang tiba sejurus menerima panggilan kecemasan.
Api berjaya dikawal dalam tempoh tiga jam dan operasi pemadaman ditamatkan secara rasmi pada jam 3.33 pagi.
Siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran dan menilai tahap kerosakan keseluruhan.