Kota Kinabalu: Program Simfoni Ramadan menjadi platform dakwah kreatif yang membawa mesej keamanan dan keharmonian kepada masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata penganjuran program itu mengangkat mesej Ihya Ramadan melalui tema Sebarkan Salam yang mengajak masyarakat menyebarkan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua.
“Pendekatan program berkenaan dilihat lebih segar kerana bukan sahaja menampilkan ceramah atau tazkirah, malah turut menggabungkan elemen seni serta hiburan yang bersifat mendidik.
“Kaedah ini lebih segar kerana bukan sekadar ceramah atau tazkirah, tetapi turut menggabungkan elemen seni dan hiburan yang mendidik jiwa serta membimbing masyarakat ke arah kebaikan,” katanya pada Program Simfoni Ramadan di Kompleks Sukan Likas pada Sabtu.
Tambah beliau, program itu turut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan serta rakan korporat.
Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang program itu termasuk tazkirah Ramadan, persembahan nasyid dan agihan bubur lambuk kepada orang ramai.
Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih berkata Program Simfoni Ramadan memberi peluang belia mengembangkan bakat seni di samping menerima pengisian ilmu agama.
Katanya program itu sangat bermakna kerana menghimpunkan pelbagai elemen ilmu, seni dan kreativiti yang dekat dengan anak-anak muda.
“Ia wajar diteruskan dan diperluaskan ke peringkat daerah supaya lebih ramai belia dapat menyertainya.
“Program ini sangat cantik dan bermakna kerana menghimpunkan pelbagai elemen ilmu selain turut menampilkan seni dan kreativiti.
“Ia satu program yang baik terutama untuk dipertontonkan kepada anak-anak muda kita di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan juga wajar diperbanyakkan di peringkat daerah bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan muda menyertai dan merasai sendiri pengisian program tersebut.
“Program seperti ini memang perlu dikekalkan pada masa akan datang dan kalau boleh kita adakan juga di peringkat daerah supaya lebih ramai dapat menikmatinya,” ujarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Mohd Na’im Mokhtar berkata sambutan hangat golongan muda membuktikan pendekatan baharu dakwah yang menggabungkan seni dan hiburan bersifat mendidik dan menarik.
“Majoriti peserta adalah golongan muda. Ini menunjukkan pendekatan dakwah yang bersifat interaktif dan kreatif mampu mendekati generasi baharu,” ujarnya.
Berbeza dengan tahun sebelumnya, Simfoni Ramadan tahun ini dipindahkan ke Kota Kinabalu selepas dua tahun diadakan di Sandakan dengan pengisian lebih pelbagai, termasuk ceramah, persembahan seni dan aktiviti kreatif sejak pagi hingga malam.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Ugama Islam Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.
Program disusuli aktiviti singgah sahur dan Ziarah Kasih Madani di Hospital Queen Elizabet (HQE).