Tue, 23 Jun 2026
Headlines:
SPR digesa benarkan undi pos rakyat Sabah, Sarawak
Published on: Sunday, June 21, 2026
Published on: Sun, Jun 21, 2026
Text Size:
Text:
SPR digesa benarkan undi pos rakyat Sabah, Sarawak
YONG (ketiga, kiri) menyerahkan surat berkenaan kepada wakil SPR.
KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menyerahkan surat kepada pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Sabah bagi menggesa pelaksanaan segera reformasi pilihan raya untuk membolehkan rakyat Sabah dan Sarawak yang menetap di luar negeri asal mereka dalam Malaysia mengundi melalui pos.

Ahli Majlis Tertinggi SAPP merangkap Naib Ketua Pemuda parti itu, Yong Yit Jee berkata surat tersebut menggesa SPR meminda Akta Pilihan Raya 1958 serta peraturan berkaitan bagi membolehkan rakyat Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia atas urusan pekerjaan atau pendidikan menunaikan tanggungjawab mengundi melalui pos tanpa perlu menanggung beban kewangan dan logistik untuk pulang mengundi secara fizikal.

Advertisement
“Pada masa ini, rakyat Malaysia yang menetap di luar negara sudah dibenarkan mengundi melalui kemudahan undi pos.

“Namun, ramai rakyat Malaysia yang bekerja di dalam negara sendiri, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak di Semenanjung Malaysia, masih berdepan pelbagai halangan besar untuk melaksanakan hak mengundi yang dijamin oleh Perlembagaan.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Isu ini memberi kesan yang tidak seimbang kepada pengundi Sabah dan Sarawak berikutan kos perjalanan udara yang tinggi antara Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia, terutama ketika musim pilihan raya.

“Ramai rakyat Sabah benar-benar mahu menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka, namun tambang penerbangan yang mahal, komitmen kerja dan cuti yang terhad sering menyebabkan mereka sukar atau tidak dapat pulang mengundi.

Advertisement
“Demokrasi tidak seharusnya bergantung kepada kemampuan seseorang rakyat membeli tiket penerbangan untuk pulang ketika musim pilihan raya. Penyertaan dalam pilihan raya perlu mudah diakses dan adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi mereka bekerja atau belajar dalam Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Yong, dalam landskap Malaysia hari ini yang menyaksikan penghijrahan dalaman bagi tujuan pekerjaan dan pendidikan semakin meningkat, kerangka pilihan raya perlu berkembang seiring dengan perubahan tersebut.

Advertisement
“Perluasan kelayakan undi pos akan memperkukuh penyertaan pengundi, meningkatkan keterangkuman pilihan raya dan lebih mencerminkan realiti semasa.

“Malaysia sudah mempunyai mekanisme undi pos dan kerangka pengesahan pilihan raya yang sedia ada. Memperluaskan kemudahan tersebut kepada pengundi domestik yang berada di luar negeri asal adalah sesuatu yang praktikal serta boleh dilaksanakan dari sudut pentadbiran.

“Dengan Pilihan Raya Umum akan datang berkemungkinan diadakan dalam masa terdekat, SAPP berpandangan reformasi berkaitan akses pengundi perlu dilaksanakan tanpa sebarang penangguhan lagi bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja di luar negeri asal tidak terus berdepan ketidakadilan dalam melaksanakan hak mengundi yang dijamin Perlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, SAPP menggesa SPR mempertimbangkan secara serius cadangan reformasi tersebut menjelang Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri akan datang bagi memastikan proses demokrasi yang lebih inklusif, mudah diakses dan benar-benar mewakili semua rakyat Malaysia.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here