TAWAU: Akta Antibuli 2026 yang memperkenalkan konsep tanggungjawab bersama (liabiliti) ibu bapa kepada pembuli diwajibkan membayar pampasan sehingga RM250,000 kepada mangsa disifatkan satu keputusan sangat terbaik untuk menangani isu berkenana.
Pembantu Menteri Kesihatan, Wanita dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal berkata hal itu kerana terdapat juga ibu bapa yang seolah-olah mahu melepaskan tangan daripada isu yang dihadapi.
“Seboleh-bolehnya, kita memang tidak boleh biarkan kerana ada anak-anak ini (yang membuli atau menjadi mangsa buli) masih lagi di peringkat usia muda dan berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga yang lebih matang,”katanya.
Menurutnya, isu buli memerlukan satu tindakan tegas, apatah lagi terlalu banyak kes berlaku sejak kebelakangan ini, malah lebih dasyat ada yang melibatkan kematian apabila mangsa berdepan tekanan emosi cukup berat.
“Apa pun pekerti kita, semuanya bermula dari rumah. Dan bagi saya, ibu bapa (wajar) diberi satu tanggungjawab yang begitu besar dan diberi hukuman berat jika mereka mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang ibu bapa,” katanya.
Beliau ditemui selepas mewakili Menterinya Datuk Julita Majungki merasmikan Program Sukaneka Tabika Perpaduan Peringkat Negeri dan Smart Start School di Dewan Bitara SK Bahagia, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut menyarankan agar Kementerian Pendidikan dan jabatan atau agensi-agensi berkaitan supaya menggandakan program-program kesedaran buli kepada pelajar serta ibu bapa.
Menurutnya, penganjuran program kesedaran amat penting kerana isu buli membawa impak masalah yang sangat serius, termasuk gangguan psikologi dan trauma bukan hanya kepada mangsa tetapi orang-orang di sekelilingnya.
“Kita di peringkat kementerian juga sedang memperhalusi perkara ini bersama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah (JPKAS) dan akan melaksanakan program serta bengkel lebih iklusif dalam menangani isu-isu semasa, termasuk buli,”katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru ibu bapa agar sentiasa meningkatkan ilmu keibubapaan agar berupaya menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak-anak mereka.
“Saya percaya, jika ibu bapa memiliki kemahiran keluarga yang baik, mereka mampu melindungi anak-anak daripada buli dan gejala negatif media sosial lain,”katanya.
Pada 18 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Azalina Othman Said berkata ibu bapa kini boleh turut dikenakan liabiliti undang-undang sekiranya anak mereka didapati bersalah melakukan perbuatan buli apabila Akta Antibuli 2026 memperkenalkan konsep tanggungjawab bersama terhadap keluarga.
Peruntukkan itu antara pembaharuan utama dalam akta berkenaan yang memperluas tanggungjawab terhadap salah laku buli melangkui pelaku kepada ahli keluarga.
Menyentuh program itu pula, Rina berkata program tersebut merupakan kerjasama strategik antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Pemadam Sabah yang antara lain pengisiannya memperkenalkan cara selamat menjauhi orang tidak dikenali dan langkah keselamatan awal yang diterapkan kepada kanak-kanak.