Kota Kinabalu: Tarikh baharu penganjuran Sabah Motor Day (SMD) 9.0 ditetapkan pada 5 dan 6 September depan bertempat di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Tarikh berkenaan dipilih selepas perbincangan diadakan antara pihak penganjur dan pengurusan universiti.
Pengerusi Skuad Anti Dadah Sabah merangkap penganjur bersama program itu Datuk Mazlan @ Joehari Manan berkata penetapan tarikh baharu itu akan membolehkan program dilaksanakan dengan lebih teratur serta memberi keselesaan kepada peserta dan pengunjung yang hadir dari seluruh Sabah.
Beliau berkata program selama dua hari itu juga dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sekaligus menambahkan lagi kemeriahan program tahunan tersebut.
“Penetapan tarikh baharu ini dicapai hasil perbincangan yang berlangsung semasa kunjungan hormat Skuad Anti Dadah Sabah kepada Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansur di pejabatnya.
“Selain itu SMD 9.0 bukan sekadar himpunan komuniti permotoran tetapi menjadi platform penting untuk menyampaikan mesej gaya hidup sihat, berdisiplin dan bebas dadah kepada masyarakat khususnya golongan belia.
“Komuniti permotoran mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan anak muda. Oleh itu pendekatan melalui aktiviti yang dekat dengan minat mereka dilihat lebih berkesan dalam menyampaikan mesej kesedaran anti dadah.
“Pada masa sama SMD 9.0 membawa tema ‘Permotoran Berdisiplin, Belia Bebas Dadah’ yang menekankan kepentingan membentuk generasi muda yang sihat, berdisiplin dan bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.
Mazlan yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri berkata pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang penganjuran SMD 9.0 termasuk pameran permotoran, kempen kesedaran anti dadah, penyertaan kelab-kelab permotoran, program komuniti belia serta aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Menurutnya program terbabit turut mencerminkan komitmen berterusan Skuad Anti Dadah Sabah dalam memperkukuh usaha pencegahan dadah menerusi pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat khususnya di kalangan golongan muda.
Sehubungan itu beliau mengajak semua peminat permotoran, golongan belia, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat untuk bersama-sama memeriah serta menjayakan program berkenaan.
“Maklumat lanjut berkaitan atur cara program dan penyertaan SMD 9.0 akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi penganjur,” ujarnya.