Kota Kinabalu: Tragedi Double Six bukan sahaja meragut nyawa malah mencetuskan rangkaian peristiwa politik dan perlembagaan yang terus membentuk kedudukan Sabah dalam Malaysia, kata Ketua Pengarang Daily Express Datuk James Sarda, JP.
James berkata Sabah baru berusia 13 tahun dalam Persekutuan Malaysia pada 6 Jun 1976 apabila negeri itu menjadi “yatim” selepas Tun Mohd Fuad Stephens, individu yang membawa Sabah menyertai Persekutuan, terkorban.
“Bukan itu sahaja, empat daripada ‘anak-anaknya’ turut pergi bersamanya iaitu Datuk Peter Mojuntin, Datuk Salleh Sulong, Datuk Chong Tain Vun dan Datuk Darius Binion.
“Mereka mewakili generasi pemimpin yang lebih baharu berbanding Fuad dan berkemungkinan mampu mencorakkan hala tuju Sabah yang berbeza,” katanya kepada hadirin yang memenuhi forum Bicara Negarawan anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Arkib Negara bagi memperingati Allahyarham Tun Fuad Stephens.
Advertisement





