Kota Kinabalu: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru anggota baharu Lembaga Sukan Sabah agar melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas majlis angkat sumpah yang diadakan di kementeriannya pada Khamis.
Advertisement
.gif)
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua ahli lembaga yang baharu dilantik dan akan memikul tanggungjawab bermula hari ini sehingga April 2029.
“Penyampaian surat pelantikan serta lafaz sumpah merupakan satu amanah yang suci dan tanggungjawab yang besar. Saya berharap semua ahli lembaga memahami peranan utama Lembaga Sukan Sabah,” katanya.
Beliau menggariskan lima langkah teras yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan segera oleh lembaga berkenaan.
Katanya, ahli lembaga perlu memahami mandat yang diberikan serta melaksanakan dasar selaras dengan dasar kementerian. Tiada ruang untuk penyalahgunaan kuasa, kronisme atau konflik kepentingan. Mereka juga perlu memanfaatkan teknologi serta memperkasakan pendigitalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan.
Selain itu, kebajikan kakitangan perlu menjadi keutamaan di samping memastikan semua kemudahan dan peralatan yang disediakan kepada masyarakat berada dalam keadaan baik dan selamat.
Sementara itu, jawatankuasa baharu lembaga itu diketuai oleh Pengerusi Syed Ahmad Syed Abas, dengan Datuk Janih Bangud sebagai Timbalan Pengerusi.
Ahli-ahli lembaga terdiri daripada Dr Tan Kah Hock, Datin Wong Siow Lee, Bobby Balang, Datuk Penyuki Matta, Prof. Madya Dr D. Maryama Ag Daud, Tahah Malisi, Suhaili Guriaman, Muhd Arziz Afizy Rumsani dan Hairul Anuar Sadon manakala dua ahli ex-officio ialah Datuk Mansur Asun dan Noorman Ramlan.