TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin
(gambar), 53, meninggal dunia pada jam 2.04 pagi Rabu ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Tawau.
Allahyarham sebelum itu dikejarkan ke Hospital Tawau oleh keluarganya selepas dilaporkan pengsan di rumah kediaman mereka, difahamkan ketika cuba memadam api kebakaran kecil di dapur.
Advertisement
.gif)
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Wilynton Enchana Watt menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar bagi seluruh pasukan polis, khasnya di Tawau.
“Beliau seorang pemimpin yang baik dan bijak mengatur penugasan di Tawau, termasuk komitmennya dalam membanteras dadah. Kami semua amat terasa dengan kehilangannya pada pagi ini,” katanya.
Terdahulu, suasana pilu dan penuh emosi menyelubungi Masjid As Salam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau ketika ahli keluarga, sahabat handai serta warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir memberikan penghormatan terakhir kepada beliau.
Usai solat jenazah, Allahyarham dibawa ke kediaman ibunya di Kg Sungai Gading, Batu 17 bagi memberi peluang kepada ahli keluarga dan kenalan terdekat memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Blok 31 Tawau sekitar jam 1.53 petang.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata pemergian arwah disifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi PDRM, khususnya Kontinjen Sabah, memandangkan perkhidmatannya sebagai seorang pegawai polis yang amat berdedikasi dan cemerlang.
Beliau mendedahkan nama arwah juga sebenarnya antara pegawai kanan di negeri ini yang berada dalam pertimbangan utama untuk dinaikkan pangkat ke Senior Asisten Komisioner (SAC) bagi mengisi jawatan lebih tinggi.
“Beliau seorang pegawai yang mempunyai potensi besar untuk maju lebih jauh dalam karier dan namanya antara KPD yang disebut-sebut untuk memegang perjawatan senior (SAC). Namun, kita harus reda kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.