PENAMPANG: Beberapa Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Penampang mengadu belum menerima watikah perlantikan walaupun sudah tiga bulan dipilih memegang jawatan itu.
Januarius @ Jacob Harry
(gambar) mempersoalkan mengapa surat rasmi pelantikan belum diserahkan kepada mereka sedangkan daerah lain sudah mengeluarkan surat kepada pengerusi JKKK masing-masing.
Jacob dipilih sebagai Pengerusi JKKK bagi Kampung Tuunon/Takad Kolopis pada Mac lalu, namun hingga sekarang masih belum menerima surat rasmi daripada pihak berkuasa tempatan kerajaan.
“Dalam masa tiga bulan ini penduduk kemungkinan akan hilang kepercayaan kepada kami kerana tahu bahawa watikah pelantikan belum ada.
“Penduduk mungkin menganggap pengerusi terpilih tidak menjalankan kerja, sedangkan kekangan tersebut berpunca daripada ketiadaan watikah rasmi,” katanya.
Kelewatan itu katanya menimbulkan pelbagai kesulitan dan implikasi negatif terhadap pentadbiran kampung, antaranya;
l Kekosongan Kepimpinan: Pentadbiran kampung kini berada dalam keadaan tidak menentu (limbo) tanpa ketua yang sah untuk membuat keputusan rasmi.
l Tanggungjawab Rasmi: Yang dipilih tidak dapat mempengerusikan mesyuarat, mengesahkan dokumen penduduk atau memohon peruntukan pembangunan mengikut tatacara pengurusan JKKK.
l Kebajikan Penduduk: Urusan bantuan kecemasan dan aduan keselamatan penduduk tergendala kerana ketiadaan kuasa eksekutif di peringkat akar umbi.
“Sehubungan itu, saya memohon penjelasan segera mengenai status watikah tersebut dan mendesak agar proses penyerahan dipercepatkan bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kampung demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Jacob berkata Pengerusi JKKK di daerah Melalap sudah menerima watikah perlantikan masing-masing, yang diserahkan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jawawi Jaafar sebulan yang lalu.
“Bagaimana dengan kami di Penampang? Bilakah kami akan menerima surat itu dan seterusnya memulakan tugas dengan yakin dan berkesan?,” tanyanya.
Pengerusi JKKK Kibabaig yang diundi mengesahkan bahawa beliau juga belum menerima surat rasmi pelantikannya.
Jacob berkata dia sudah menghantar surat bantahan dan aduan rasmi kepada Datuk Rubin Balang di Kementerian Pembangunan Luar, meminta masalah itu diselesaikan demi menjaga kepercayaan penduduk kampung. Katanya, mereka dipilih melalui proses undian seperti yang diarah oleh kerajaan baharu sejak 29 Mac lagi.
“Namun sehingga tarikh surat ini ditulis, saya masih belum menerima watikah pelantikan rasmi,” katanya.
Ketiadaan watikah pelantikan menyebabkan beberapa kampung di Penampang tidak mempunyai kepimpinan jelas ketika sokongan akar umbi dan pembuatan keputusan pantas diperlukan untuk pembangunan dan kebajikan komuniti.