KENINGAU: Disebalik kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha, nilai sebenar pengorbanan sering dizahirkan melalui keikhlasan masyarakat tanpa mengira latar belakang demi memastikan keberkatan dapat dinikmati bersama.
Berpegang kepada semangat itu Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor Datuk Mohd Ishak Ayub meneruskan tradisi kebajikan dengan menyumbangkan lembu korban kepada beberapa masjid di kawasan Bingkor sempena Aidiladha tahun ini.
Antara masjid yang menerima sumbangan tersebut ialah Masjid Nur Islam Kampung Binaong, Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, Masjid Riyadus Solihin Merampong dan Masjid Ar-Rasyid Kota Ayangan.
Dalam ucapannya beliau menggesa masyarakat agar menyambut Aidiladha secara sederhana tetapi tetap meriah bersama keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung supaya keberkatan perayaan dapat dirasai bersama.
“Aidiladha bukan sekadar simbol pengorbanan tetapi simbol keikhlasan, kasih sayang dan semangat berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat khususnya kepada mereka yang memerlukan perhatian dan sokongan.
“Semoga Aidiladha tahun ini membawa keberkatan, mengeratkan hubungan serta memperkukuhkan perpaduan ummah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan yang lahir melalui ibadah korban perlu terus dipelihara kerana ia menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.