Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempelawa lebih banyak pihak tampil sebagai rakan strategik rasmi bagi memperkukuh pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) yang bertujuan membantu golongan memerlukan, mengurangkan pembaziran makanan serta memelihara kelestarian alam sekitar.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata penyertaan sebagai rakan strategik boleh diajukan kepada Sekretariat i-FB yang diselaraskan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) di bawah KPDN yang turut mempunyai ekosistem kondusif untuk mempermudahkan mana-mana pihak yang ingin terlibat dalam inisiatif tersebut.
Katanya, Inisiatif i-FB yang mula dirintis pada Disember 2025 lalu merupakan pendekatan baharu dalam memperkukuh pelaksanaan Program Food Bank Malaysia melalui agenda transformasi yang berteraskan tiga objektif utama iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
“Melalui i-FB, kita dapat memperkasakan pelaksanaan program foodbank Malaysia dengan lebih sistematik, inklusif dan efektif melalui pendekatan di seluruh negara, merangkumi bukan hanya agensi kerajaan tetapi juga pihak industri, swasta dan juga badan bukan kerajaan (NGO), sekaligus mewujudkan satu ekosistem yang kondusif dan sistematik.
“Pada masa sama, ia dapat menekankan usaha menyemarakkan nilai ihsan dan belas kasihan dalam kalangan masyarakat dengan menggalakkan penyertaan pelbagai pihak dalam membantu golongan rentan dan kumpulan sasar melalui penyaluran bantuan makanan menerusi program ini.
“Pendekatan ini bukan saja dapat membantu golongan memerlukan mendapatkan bekalan makanan, malah turut meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya melibatkan perbelanjaan makanan harian,” katanya semasa sidang media sempena Program Inisiatif i-FB@KFC, di sini pada Ahad.
Armizan berkata inisiatif berkenaan turut memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengurus lebihan makanan atau food surplus bagi mengelakkan ia menjadi sisa pepejal yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar.
Katanya, peningkatan sisa makanan yang tidak terkawal bukan sahaja meningkatkan kos pengurusan sampah, malah boleh menyebabkan keperluan membuka lebih banyak tapak pelupusan sampah serta menjejaskan kualiti alam sekitar.
Sehubungan itu katanya, inisiatif berkenaan mampu menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa lebihan makanan yang masih selamat dimakan boleh dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan berbanding dibuang begitu saja.
“i-FB juga menumpukan usaha memperluaskan gerakan menyelamatkan makanan (food rescue) melalui penglibatan lebih aktif komuniti, NGO dan sektor swasta selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3 yang menyasarkan pengurangan separuh daripada pembaziran makanan di peringkat industri dan pengguna menjelang tahun 2030. Kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menunjukkan kira-kira satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia, bersamaan 1.3 bilion tan metrik, dibazirkan setiap tahun,” katanya.
Mengulas mengenai program Inisiatif i-FB@KFC, Armizan berkata QSR Brands (M) Holdings Bhd tampil sebagai rakan strategik i-FB sekali gus akan menumpukan usaha menyelamatkan makanan untuk disalurkan kepada komuniti sasar.
Katanya, sebagai pemilik dan pengendali rangkaian restoran KFC di Malaysia, QSR Brands akan menyelaras pengumpulan lebihan makanan yang tidak terjual dalam tempoh ditetapkan di restoran-restoran KFC sebelum diuruskan mengikut prosedur keselamatan makanan bagi memastikan ia kekal bersih, selamat dan berkualiti untuk diagihkan.
“Melalui inisiatif ini, projek i-FB@KFC akan dilaksanakan secara lebih sistematik dengan kerjasama KPDN, QSR Brands dan rakan strategik NGO serta institusi yang dikenal pasti termasuk dalam mengenal pasti kumpulan sasar penerima bantuan.
“NGO dan institusi yang terlibat akan berperanan menyimpan, mengedar atau memproses semula produk berkenaan sebelum diagihkan kepada penerima dalam tempoh tiga hari selepas pengambilan dari restoran KFC dan sebagai permulaan sebanyak 10 restoran KFC di Sabah dipilih menyertai projek itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, KPDN turut mengenal pasti 10 NGO dan institusi sebagai rakan pelaksana yang akan bekerjasama secara langsung dengan restoran-restoran KFC terbabit bagi mengurus serta mengagihkan sumbangan makanan kepada golongan sasar.
Terdahulu, Armizan turut berkesempatan mengagihkan pek makanan i-FB@KFC kepada 50 kanak-kanak dari Persatuan Sayangi Kanak-Kanak Sabah di program itu.