Kota Kinabalu: Parti Warisan kekal kukuh meskipun beberapa bekas pemimpinnya bertindak meninggalkan parti itu baru-baru ini, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata individu yang keluar daripada parti itu hanyalah sebilangan kecil bekas ketua bahagian dan bekas pemegang jawatan.
Katanya, beliau mengambil maklum keputusan beberapa individu untuk meninggalkan Warisan. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada mereka merupakan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.
“Apa yang berlaku hanyalah satu episod kecil dalam perjalanan yang jauh lebih panjang. Dalam politik, setiap parti melalui pelbagai fasa. Mereka yang benar-benar ikhlas dan komited kepada perjuangan akan terus kekal. Warisan tetap utuh dan akan terus mara ke hadapan. Perjuangan untuk Sabah akan terus menjadi keutamaan kami,” katanya.
Bekas Ketua Menteri itu merujuk kepada beberapa pemimpin termasuk bekas Ahli Majlis Tertinggi Warisan dan bekas Naib Ketua Warisan Kota Belud Taib Isai yang baru-baru ini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Taib dilaporkan berkata keputusan itu didorong oleh rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dalam kalangan akar umbi serta kebimbangan bahawa parti itu telah menyimpang daripada aspirasi rakyat Sabah. Shafie berkata kekuatan Warisan tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu.
“Kekuatan kami terletak pada ahli biasa, sukarelawan akar umbi dan rakyat Sabah yang terus percaya kepada perjuangan yang bersih serta berprinsip untuk negeri ini.
Sesebuah gerakan politik menjadi lebih kuat apabila mereka yang benar-benar komited terus kekal, manakala mereka yang kesetiaannya bergantung kepada jawatan, pencalonan atau kepentingan peribadi memilih untuk meninggalkan perjuangan,” katanya.