TAMPARULI: Tiga rumah dan empat kenderaan dilaporkan musnah dalam kebakaran di kawasan berhampiran Gereja St Philip, di sini, Rabu.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Kurong Ak Beki berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.45 pagi.
Advertisement
.gif)
Katanya, seramai 15 anggota dikerah ke lokasi kejadian sejauh 13 kilometer beserta dua jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 1.01 pagi, pihak bomba mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Operasi memadam api turut dibantu pasukan bomba dari BBP Lintas bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.
Menurut Kurong, kebakaran mengakibatkan dua rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah musnah kira-kira 50 peratus.
“Empat lagi kenderaan turut terjejas adalah kereta Proton Satria, Perodua Viva dan Mercedes yang musnah sepenuhnya manakala satu pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max mengalami kerosakan 20 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.11 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 pagi,” ujarnya.
Kurong berkata tiada mangsa dilaporkan cedera atau mengalami kemalangan jiwa manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, seorang penduduk dikenali Ellron, 23, berkata suasana cemas di kawasan perumahan apabila penduduk terjaga mendengar suara penduduk meminta bantuan.
“Ketika kejadian, semua penghuni berlari keluar rumah bagi menyelamatkan diri dan tiada mangsa yang dilaporkan cedera,” katanya.