KUDAT: Lima individu cedera dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Kampung Kandawayon baru-baru ini.
Mangsa terdiri daripada tiga penumpang sebuah Perodua Axia iaitu dua lelaki berusia 24 dan 33 tahun serta seorang wanita berusia 49 tahun.
Turut cedera ialah dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun yang menaiki sebuah Perodua Myvi berwarna kelabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat Darickson Galanang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.39 tengah malam.
“Sepasukan enam anggota yang diketuai oleh Martini Asangki telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba anggota bertugas mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Axia, sebuah Proton, sebuah Toyota Revo serta dua buah Perodua Myvi berwarna kelabu dan biru,” katanya.
Menurut Darickson lima individu mengalami kecederaan manakala pemandu Toyota Revo, Perodua Myvi biru dan Proton tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kudat Supt Mohd Haris Ibrahim berkata siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun sedang dalam perjalanan dari Hospital Kudat menuju ke Kampung Timug bersama ibunya.
“Apabila tiba di Kilometer 28 Jalan Kudat-Kota Kinabalu yang merupakan laluan berselekoh, sebuah Perodua Axia yang datang dari arah bertentangan dipercayai memasuki lorong mangsa lalu menyebabkan perlanggaran secara berdepan,” katanya.
Beliau berkata impak pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua pemandu serta dua penumpang yang terlibat dalam perlanggaran utama mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Menurut Haris kes disiasat dibawa Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kemalangan.
Pesalah bolah dikenakan denda tidak kurang RM5, 000 dan tidak melebihi RM10, 000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.